shahbudindotcom
Agak
menjengkelkan mendengar reaksi terbaru Najib Razak mengenai saman sivil
yang dibuat oleh Jabatan Kehakiman AS untuk menyita harta-harta
bernilai RM4,000 juta yang dipercayai berasal daripada dana 1MDB yang
telah dilencongkan.
Setelah
reaksi pertamanya menyatakan kerajaan sedia memberi kerjasama berhubung
saman sivil itu dan kemudian mahukan semua yang dinamakan, termasuk
anak tirinya Riza Aziz, membersihkan nama masing-masing, kali ini Najib
menyatakan 1MDB tidak terlibat dalam tindakan yang dilakukan oleh
Jabatan Kehakiman AS itu.
Katanya,
1MDB tidak mempunyai kaitan dengan saman sivil itu memandangkan
syarikat pelaburan strategik kerajaan itu tidak dinamakan sama sekali.
Dalam
saman tersebut, 1MDB tidak dinamakan. Jadi, secara langsungnya 1MDB
tidak terlibat, katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT UMNO.
Tambah
Najib lagi, saman tersebut juga tidak menyebut 1MDB mempunyai aset di
AS, selain tidak mengambil pandangan mana-mana daripada 1MDB atau pun
pihak berkuasa di Malaysia.
Adakah Najib mahu menggambarkan 1MDB tidak bersalah dan AS sebenarnya yang salah?
Adakah
Najib tidak faham mengenai tindakan Jabatan Kehakiman AS itu atau ini
satu lagi percubaan untuk memperdaya pakcik kampung dan makcik Felda
tentang putih bersihnya 1MDB itu?
Dalam
kes saman sivil tersebut, adalah jelas disebut harta-harta itu mahu
disita kerana kerana ia dipercayai dibeli dengan menggunakan wang 1MDB
yang dilencongkan. Harta-harta bernilai RM4,000 juta itu dibeli sebagai
kaedah mencuci wang haram atau penggubahan wang daripada 1MDB yang pihak
AS dapat kesan berjumlah RM14,000 juta atau AS$3.5 bilion.
Empat pemilik harta yang disebut itu ialah Jho Low, Riza Aziz, Khadem Al-Qubaisi dan Mohamed Al-Badawy.
Dalam
hal ini, memanglah nama 1MDB tidak disebut dalam saman sivil yang
difailkan kerana 1MDB adalah mangsa kecurian. Apabila mahu menyita
harta, yang dinamakan sudah tentu yang disyaki pencurinya, bukan pihak
yang kena curi.
Mereka
yang dipercayai mencuri duit 1MDB itulah yang membeli harta-harta,
membuat filem, berjudi dan sebagainya dengan wang tersebut. Oleh itu,
siapa pun faham 1MDB memang tiada harta di AS, tetapi daripada wang 1MDB
yang dicuri itulah mereka membeli pelbagai harta.
Tetapi adakah 1MDB tidak terlibat?
Jangan
lupa, dalam kenyataan Peguam Negara AS , Loretta Lynnh itu juga beliau
menyebut tentang komplot mencuri wang 1MDB dan ia didakwa dilakukan
berkali-kali.
Apabila
disebut komplot, bermakna ada pakatan tertentu yang dilakukan
melibatkan pihak-pihak dalam 1MDB sendiri untuk menjayakan pencurian
wang itu. Sebab itu, pihak AS mengesan wang yang dicuri ialah sebanyak
AS$3.5 bilion atau RM14,000 juta manakala Laporan Audit pula mengesan
jumlah pengaliran wang yang tidak dapat disahkan berjumlah AS$7 bilion
atau RM28,000 juta.
Bermakna,
adalah tidak tepat untuk Najib mengatakan 1MDB tidak terlibat dalam
saman Jabatan Kehakiman AS itu. Lagi pun, ini baru peringkat permulaan,
selepas saman sivil dilakukan dan harta-harta dapat disita bagi
mengelakkan mereka yang disebut namanya itu mencairkan harta-harta
tersebut, ia pasti akan disusuli dengan saman jenayah akhirnya.
Hakikatnya,
bukan 1MDB tidak terlibat dalam tindakan Jabatan Kehakiman itu, bahkan
1MDB adalah punca segala-galanya. Melalui 1MDBlah munculnya Jho Low dan
kemudiannya wujud pula PetroSaudi, IPIC, Khadem, Mohamed Al-Badawy, Riza
Aziz dan pelbagai nama yang lain.
Dalam
maklumat Jabatan Kehakiman AS dan FBI itu juga mereka mempunyai
maklumat bahawa Malaysian Official 1 turut menerima wang yang dipercayai
bersumberkan 1MDB dengan jumlah keseluruhan sebanyak AS$731 juta atau
lebih RM3,000 juta yang dimasukkan ke akaun peribadinya di Ambank.
Maka,
berhentilah cuba menyucikan 1MDB dengan mengatakan ia tidak terlibat
dan tidak mempunyai aset di AS. 1MDB adalah punca segala masalah yang
sedang berlaku ini.
Tanpa 1MDB, tiadalah kita kenal kleptokrasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan