HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Julai 2016

Jawatan Ketua Menteri memang milik Kon Yeow tapi dicaras Guan Eng - PAP

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sepatutnya sudah lama menyerahkan jawatan ketua menteri yang dipegangnya sejak tahun 2008 itu kepada Chow Kon Yeow, kata Setiausaha Organisasi Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak.
 
Katanya, Kon Yeow sepatutnya menjadi Ketua Menteri sejak 2008 namun memberi laluan kepada Guan Eng kerana terhutang budi dengan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang juga merupakan bapa kepada ADUN Air Putih, yang banyak membantu dalam menaikkan kerjaya politiknya.
 
"Chow Kon Yeow sepatutnya dah menjawat jawatan Ketua Menteri sejak 2008 sejak Pakatan Rakyat mengambil alih Pulau Pinang dahulu maknanya (Guan Eng) berhutang dengan Kon Yeow dua penggal.
 
"Sekarang ini ibarat kata 'ludah ke langit jatuh ke batang hidungnya sendiri'. Dia (Guan Eng) sudah sedar kesilapan yang dia lakukan. Guan Eng ini jadi Ketua Menteri dulu atas pelawaan diri sendiri di hadapan ayahnya (Kit Siang) semasa mereka tubuh kerajaan dulu," katanya kepada Antarapos hari ini.
 
Terdahulu, Guan Eng memberitahu bahawa Kon Yeow adalah individu yang paling sesuai menggantikan jawatannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
 
Katanya, Kon Yeow menjadi pilihannya secara peribadi untuk menjadi ketua menteri seterusnya, jika beliau dipenjara berkaitan kes rasuah yang dihadapi ketika ini.
 
Bagaimanapun katanya, cadangan itu perlu dibincangkan dan dipersetujui bersama kepimpinan DAP sebelum membuat keputusan.
 
Dalam pada itu, Rahmad menyifatkan Guan Eng berada dalam keadaan terdesak pada masa kini yang membuatkan beliau menamakan Kon Yeow bagi menggantikan beliau.
 
"Jadi sekarang ini jika dia hendak pulangkan kembali jawatan Ketua Menteri kepada Kon Yeow saya boleh katakan itu satu keadaan yang sepatut dilakukannya dulu bukannya sekarang.
 
"Bila sudah terdesak sangat baru hendak pulangkan jawatan itu kepada orang yang sepatutnya menjawat jawatan daripada peringkat awal lagi," katanya lagi.
 
Cadangan Guan Eng itu muncul selepas didakwa terlibat dalam tuduhan rasuah cubaan menukar status tanah (zon pertanian kepada zon komersil) dan membeli sebuah banglo di bawah harga pasaran di Jalan Pinhorn, George Town.
 
 

Tiada ulasan: