HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Julai 2016

Denda iklan ‘seksi’ bukti undang-undang syariah jejas bukan Islam

 
Sebuah kedai jam tangan di Kota Bharu didenda kerana memaparkan dua keping poster iklan wanita yang dikatakan seksi dalam premis berkenaan. 


gambarsexy


PETALING JAYA: Tindakan pihak berkuasa tempatan mengenakan kompaun kepada seorang peniaga di sebuah pusat beli-belah di Kelantan semalam kerana iklan seksi adalah bukti undang-undang syariah turut memberi kesan kepada orang bukan Islam.

Setiausaha MCA Kelantan, Datuk Lua Choon Hann yang dipetik The Star Online berkata, dakwaan PAS selama ini kononnya undang-undang syariah tidak akan dikuatkuasakan ke atas golongan bukan Islam tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Ekonomi MCA Kelantan itu mendakwa penguatkuasaan kerajaan negeri pimpinan PAS itu sememangnya menyasarkan bukan Islam dan menganggap mereka sebagai pelanggar undang-undang.

“Pada 25 Julai, satu saman dikeluarkan kepada seorang peniaga jam yang beroperasi di tingkat bawah sebuah pusat beli-belah di Kota Bharu kerana melanggar syarat-syarat (gambar seksi) ditetapkan MPKB (Majlis Perbandaran Kota Bharu),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan Oriental Daily, seorang peniaga jam tangan di sebuah pusat beli-belah di Kota Bharu didenda kerana melanggar Seksyen 107 (2) Akta Kerajaan Tempatan 1976 menerusi paparan dua keping poster iklan wanita yang dikatakan seksi dalam premisnya.

Peniaga terbabit mendakwa, ini bukan kali pertama beliau didenda kerana kira-kira 10 saman diterimanya sejak mula menjalankan perniagaan itu pada 1990.

Jelasnya, beliau hanya boleh memohon lesen perniagaan bagi premis baru selepas membayar semua denda berjumlah RM2,000 yang akhirnya diberikan potongan harga sehingga RM400.

Sehubungan itu, Lua berkata, MCA akan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bakal menyaksikan golongan bukan Islam tidak lagi dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Tiada apa yang mampu menghalang penggubal undang-undang persekutuan lain daripada mencadangkan pelaksanaan hukum hudud ke atas orang bukan Islam seperti yang berlaku di Aceh, Indonesia,” katanya merujuk pelaksanaan undang-undang syariah di Aceh yang membenarkan sebatan di khalayak ramai ke atas golongan bukan Islam atas kesalahan termasuk menjual dan meminum arak serta berjudi.

Tiada ulasan: