SEREMBAN - Kerajaan negeri bersedia menampung kos diperlukan untuk membawa pulang Ketua Kerani Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Rembau, Mohamad Sahar Mhd Noor, 57, yang diserang angin ahmar sejak 4 Julai lalu dan kini terlantar di Charing Cross Hospital, West London, ke tanah air.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya telah meminta melalui Pejabat Menteri Besar supaya menolong apa yang patut, walaupun pesakit terbabit mendapat bantuan kewangan daripada Mara.
"Dengarnya Mara telah beri bantuan sebanyak £30,000 (RM159,768). Tapi tidak cukup untuk (tanggung) bayaran perubatan yang kini dikhabarkan menjangkau £50,000 (RM266,262). (Tambahan pula) sekarang ini pegawai perubatan di Charing Cross Hospital kata, mesti ada doktor terlatih dan peralatan canggih untuk bawa dia balik.
[ARTIKEL BERKAITAN: 'Selangkah lagi bawa ayah pulang']
"Jadi, apa yang kurang kita akan tambah. (Misalnya) tambang kapal terbang, kos doktor, pengiring, jururawat, peralatan dan lain-lain lagi. Ini ihsan daripada kerajaan Negeri Sembilan untuk memastikan pesakit dan keluarganya dapat dibawa balik dengan selamat ke tanah air, insya-ALLAH," katanya.
Menurut beliau, langkah tersebut diambil atas dasar kemanusiaan terutama apabila memikirkan nasib anak-anak Mohamad Sahar.
"(Cuba) bayangkan kita di sana. Ayah sakit dan kita tidak ada upaya untuk buat apa-apa. Memang mahal kos perubatan di London atau luar negara. (Kalau) tiada insurans dan sebagainya, susah. Jadi elok juga dibawa balik.
"Tapi biarlah keadaan dia benar-benar stabil dan boleh naik kapal terbang. Kalau tidak nanti, akan menyebabkan pendarahan amat teruk akibat tekanan semasa penerbangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Kursus Perdana Haji Musim 1437 Hijrah Peringkat Negeri Sembilan di Masjid Kariah Paroi Jaya, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Datuk Selamat Paigo; Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad dan Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Kamal Amran Kamarudin.
Sinar Harian melaporkan sebelum ini, bapa kepada empat orang anak itu diserang angin ahmar ketika tiba di Lapangan Terbang Heathrow untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga, di samping menghadiri majlis graduasi anak perempuannya yang menamatkan pengajian peringkat sarjana di Brunel University, London.
Menurut anak kedua Mohamad Sahar, Amirah, bapanya tiba-tiba pengsan setelah 20 minit keluar dari balai ketibaan dan situasi bertambah sukar apabila tidak dilindungi insurans perjalanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan