HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Julai 2016

Kerajaan akan teliti semula undang-undang siber - Azalina

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti dan menambah baik undang-undang berkaitan siber bagi membendung penyalahgunaan teknologi maklumat dan media sosial yang semakin berleluasa ketika ini.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penelitian terhadap undang-undang siber perlu dibuat bagi melindungi pengguna daripada terus menjadi mangsa.
 
"Melihat kepada perkembangan hari ini, pengaruh media sosial memainkan peranan besar dalam kehidupan masyarakat hari ini. Walaupun terdapat undang-undang yang mencukupi namun sudah masanya untuk kerajaan meneliti semula undang-undang ini.
 
"Tidak dinafikan manfaat media sosial sebagai ejen perhubungan yang mudah, cepat dan murah.  Namun peningkatan trend serangan siber serta penyalahgunaan media sosial dilihat semakin berleluasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Katanya lagi, penelitian semula undang-undang siber itu bertujuan menangani ancaman keganasan dalam negara ini.
 
“Pihak-pihak tertentu menyalahgunakan media sosial untuk tujuan penipuan, merekrut pengganas, dan menanam kebencian terhadap kerajaan serta menganggu gugat keharmonian negara,” katanya lagi.
 
Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak bercadang untuk menyekat kebebasan bersuara dan hak menggunakan ruang siber, sebaliknya penelitian semula itu bertujuan mencari satu titik keseimbangan antara kebebasan dan tanggungjawab pengguna.
 
 

Tiada ulasan: