HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Julai 2016

Azizah muncul bersama Muhyiddin, ajak rakyat bangkit selamatkan M’sia

THE MALAYSIAN TIMES


azizah


KUALA LUMPUR : Presiden parti KEADILAN (PKR ) Datuk Seri Wan Azizah Ismail berkata di saat Malaysia dilanda krisis kegagalan urus tadbir yang berpunca daripada rasuah berskala besar, rakyat turut menyaksikan salahguna kuasa yang memusnahkan institusi-institusi utama demokrasi negara.

Ini semestinya menjadi detik dan waktu di mana semua pejuang dan patriot yang menjunjung demokrasi akan bangkit berjuang dalam satu halatuju, iaitu untuk menyelamatkan Malaysia.

Rakyat Malaysia telah terlalu lama menyaksikan bagaimana pemusatan kuasa politik mengakibatkan terhakisnya institusi-institusi negara dan terbantutnya demokrasi; bagaimana dasar-dasar menekan rakyat hanya menambah beban termasuk melalui peningkatan harga barang; dan bagaimana gejala ekstremisme dan perkauman sempit yang semakin menular mampu memecahbelahkan kita.

Rakyat Malaysia telah menjadi mangsa kebobrokan pentadbiran di Putrajaya yang telah banyak kali gagal memimpin negara untuk menangani krisis penyelewengan dan dalam kes terkini, RM28 bilion yang didakwa diseleweng daripada 1MDB, katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya hari ini.

Beliau yang muncul julung kalinya bersama bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin   dalam satu sidang media khas hari ini  berkata “Ramai di Malaysia malah seluruh dunia sudah mengetahui siapakah ‘Malaysian Official 1’ yang disebutkan tetapi Putrajaya tetap cuba menafikan penglibatan YAB Perdana Menteri.

WANG DI SALAH GUNA

“Malah keengganan Perdana Menteri mengadakan sidang Parlimen khas dengan segera untuk menjelaskan isu 1MDB hanya mengesahkan persepsi bahawa kepentingan rakyat diselewengkan menerusi 1MDB.

“Wang berbillion RM dipinjam dan disalahgunakan untuk meraikan gaya hidup mewah, berjudi, bertemasya arak, membeli jet peribadi, membuat filem Hollywood, membeli lukisan mahal ketika rakyat disuruh berjimat, berkorban dan bekerja kuat telah tidak dipedulikan.

‘KEADILAN sudah mendepani kemelut salahguna kuasa yang membelenggu negara dari dahulu lagi dan Ketua Umum parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membayar dengan kebebasan beliau akibat kelantangan bersuara terhadap salahguna kuasa, penyelewengan rasuah, skandal 1MDB dan skandal-skandal sebelumnya”, ujarnya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga berkata belliau  juga turut merasai keperitan dan kekeliruan semua lapisan masyarakat apabila pegawai kerajaan yang lantang serta profesional dan berkecuali dimangsakan secara sistematik.

Maka jelaslah negara kita perlu diselamatkan. Bagi KEADILAN, selagi agenda reformasi termasuk reformasi parlimen, reformasi kehakiman, reformasi sistem pilihanraya malah juga dasar pemisahan kuasa belum tercapai, selagi itulah kami akan bangkit dan lawan kezaliman yang menghalang kemajuan rakyat.

Justeru, KEADILAN mengalu-alukan kesediaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama, dan berganding bahu bersama KEADILAN dan rakan-rakan PAKATAN HARAPAN, parti-parti politik, badan-badan bukan kerajaan serta individu-individu dalam menggerakkan momentum menangani krisis rasuah, salah guna kuasa, memusnahkan institusi-institusi negara demi kepentingan sendiri yang semakin berleluasa sebelum terlewat. Ini termasuklah siri jelajah yang dianjur pelbagai pihak untuk menerangkan isu-isu mutakhir termasuk kes dakwaan kecurian wang 1MDB, katanya.

“Kami mengajak rakyat untuk bersama, menyebar maklumat dan menyertai satu gerakan massa demi masa depan negara yang lebih baik”, katanya.

Tiada ulasan: