HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Julai 2016

Laporan Ketua Audit bukan rahsia jika jatuh ke tangan FBI, DOJ

MALAYSIA DATELINE
 
 
Tan Sri Adam KaderTan Sri Adam Kader
Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan lagi dokumen rahsia rasmi kerajaan, apabila ia jatuh ke tangan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dalam prosiding sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, kata Bekas Presiden Senat Tan Sri Adam A. Kadir.

Beliau dipetik berkata dalam laporan yang disiarkan Sinaronline menyebut, badan penyiasat dunia itu berupaya mendapatkan segala maklumat termasuk laporan sulit itu, bagi mendapatkan kebenaran di sebalik penglibatan lima orang yang disyaki menggunakan duit curi daripada 1MDB.

"FBI akan minta maklumat, kalau kerajaan nak bagi. Kalau kita bagi, dia mesti nak maklumat lagi. Bagi maklumat yang sebetulnya, kerana dengan maklumat itu, Amerika akan membuat kesimpulan yang lebih tepat daripada saman sivil itu.
“Amerika dapat maklumat daripada mana, itu kebijaksanaan mereka. FBI merupakan badan penyiasat nombor satu dunia. Mungkin kita pegang rahsia tertentu, bagi pihak lain, ia bukan rahsia,” katanya seperti dilapor hari ini.
Beliau mengulas kemungkinan saman sivil DOJ minggu lalu akan membuka jalan kepada campur tangan kuasa asing itu dalam pentadbiran negara, terutama akses kepada dokumen rahsia kerajaan seperti laporan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mengenai siasatan 1MDB.

Beliau berkata, tiada had tertentu diletakkan dalam perkongsian maklumat antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan FBI, sebaliknya bergantung kepada budi bicara serta kejujuran kerajaan Malaysia dalam membantu prosiding sivil itu.

“Hubungan ini berdasarkan saling hormat-menghormati, kalau kita tipu kawan kita atau sekat maklumat tertentu, lain kali hubungan itu tiada rasa hormat lagi, atau nanti kita tidak akan dipercayai.

“Amerika sedang menunjukkan praktisnya. Malaysia jadi kawan Amerika dalam keadaan tertentu. Tapi kita akan jadi musuh, kalau kita tidak bertindak sepatutnya, seperti mana yang mereka mahukan,” katanya.

Beliau turut menegaskan, saman sivil itu tidak akan membuka jalan kepada campur tangan kuasa asing itu dalam pentadbiran negara, melainkan wujudnya kompromi, sama ada menghalang prosiding mahupun kes itu ditarik balik daripada pendakwaan di mahkamah.

“Kalau kita cuba mendapatkan sesuatu melalui pintu belakang dengan mereka, mungkin ia membawa kepada campur tangan dalam negara. Saya tak percaya Amerika akan setuju, kerana ini masalah negara kita, di mana wang kotor itu sudah mencemarkan sistem kewangan mereka.

“Kerana itu, mereka mempunyai kuasa untuk mengeluarkan wang itu daripada sistem kewangan Amerika dengan memulangkan semula kepada Malaysia selepas ditolak kosnya. Ini bermakna, orang bersalah itu tetap bersalah,” ulasnya.

Beliau berkata, Peguam Negara Amerika didakwa akan menamakan Malaysian Official 1 tidak lama lagi selepas mendapat tekanan seluruh dunia.
 
“Maka tindakan jenayah akan diambil. Sudah terang, lagi bersuluh, tapi orang yang kena suluh dalam terang itu masih lagi tidak mahu mengaku. Maka dia (Amerika) terpaksa kata (menamakan pesalah). Ini akan berlaku,” katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan, wujudnya usaha untuk berunding dengan Amerika bagi mengetepikan prosiding sivil itu, terutama yang melibatkan anak tiri Perdana Menteri.

“Mungkin ada usaha-usaha untuk berunding. Berunding itu akan merosakkan integriti kita. Sekiranya berlaku, maka dunia akan tahu bahawa ada sesuatu berlaku di belakang mereka .

“Jadi timbul soal ketelusan yang penting dalam pemerintahan dan tata urus negara sudah terjejas. Itu satu dosa besar dalam pengurusan dan kerajaan dunia kalau berlaku macam itu (rundingan),” dakwanya.

Ditanya kesan kepada Amerika jika rundingan itu diterima, beliau bagaimanapun berkata, kuasa asing itu akan hilang kepercayaan dunia khususnya sebagai pusat parkir wang sedunia pada masa akan datang jika tunduk kepada permintaan itu.

“Amerika menjadi negara nombor satu dunia, orang tak percaya Russia untuk hantar duit di negara itu, orang tak percaya kepada China untuk hantar duit. Orang hanya percaya kepada Amerika, walaupun bagaimanapun dia akan dapat balik duit kalau letak duit di negara itu.

“Jadi Amerika akan menjaga amanah ini dan dia juga ingin memastikan dunia ini, menjadi bebas daripada wang kotor atau pengubahan wang haram atau wang haram daripada korupsi. Dia kena jaga perkara ini sebaik-baiknya,” katanya seperti dipetik.

Peguam Negara Amerika didakwa akan menamakan Malaysian Official 1 tidak lama lagi selepas mendapat tekanan seluruh dunia.Peguam Negara Amerika didakwa akan menamakan Malaysian Official 1 tidak lama lagi selepas mendapat tekanan seluruh dunia.


Tiada ulasan: