HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Julai 2016

Teks1m atau SPAD yang perlu dirombak?


Kadar bayaran tol lebuh raya adalah penjimatan kepada penumpang yang menggunakan perkhidmatan teksi sah dan penjimatan itu tidak memberi sebarang kelebihan atau keuntungan kepada pemandu teksi seperti yang dibanggakan SPAD.

 
SPAD

Oleh Kamaruddin Hussain

Terkini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memaklumkan pihak media mereka sedang menyiapkan rancangan penstrukturan kadar tambang baharu bagi merombak semula Teksi 1Malaysia (Teks1m) dan teksi bajet.

Difahamkan, rombakan tersebut perlu dilakukan bagi membantu pemandu teksi konvensional menghadapi transformasi industri teksi yang akan datang, termasuk rancangan menghalalkan kereta sapu Uber dan Grabcar.

SPAD turut bercadang memaksa pemandu teksi memasang meter teksi baharu yang dilengkapi sistem GPS untuk penilaian prestasi melalui e-hailing.

Bagaimanapun, SPAD memaklumkan pihak media, pengendali berasaskan aplikasi rangkaian pengangkutan (TNO) seperti aplikasi kereta sapu Uber dan aplikasi kereta sapu Grabcar tidak akan tertakluk kepada kadar tambang yang dikawal selia apabila perkhidmatan e-hailing dilaksanakan kelak.

Katanya, terpulanglah kepada TNO masing-masing untuk menawarkan kadar tambang lebih rendah daripada kadar teksi. Tidak ada sebarang undang-undang yang menyatakan ia adalah satu perbuatan salah, apabila pemandu teksi atau pembekal pengangkutan menawarkan tambang lebih rendah daripada kadar tambang yang dikawal selia”.

Tambahnya, kuasa pasaran akan membentuk trend tambang dalam jangka panjang, SPAD tidak akan menghalang pihak TNO mengenakan kadar tambang lebih tinggi, apabila permintaan meningkat, pengguna akan membuat keputusan.

Pemandu teksi terus mempunyai kelebihan berbanding pemandu kereta sapu dalam pelbagai cara seperti kadar bayaran tol lebuh raya lebih rendah dan masih boleh mengambil penumpang di kawasan ditetapkan.
Kesimpulan

1. Apabila SPAD menyatakan hasrat untuk merombak atau penstrukturan semula kadar tambang teksi yang baru saja dinaikkan pada Mac 2015, itu bermakna SPAD adalah sebuah suruhanjaya yang tidak boleh diharapkan.

Ternyata SPAD tidak membuat kajian dengan betul dan telus.

Tidak mustahil kenaikan kadar tambang teksi yang diumumkan SPAD adalah satu tindakan terburu-buru tanpa mengguna pakai cadangan dan bantahan daripada persatuan dan pemandu teksi.

Maka, kadar tambang Teks1m dinaikkan lebih tinggi daripada kadar tambang teksi bajet, walaupun sebelum itu Pers1m dan pemandu Teks1m mencadangkan tambang Teks1m disamaratakan dengan kadar tambang teksi bajet bagi menggalakkan penumpang memilih Teks1m.

Namun, SPAD berpendapat cadangan Persatuan Transformasi Pemandu Teksi 1Malaysia (Pers1m) dan pemandu Teks1m tidak betul, SPAD percaya apabila kadar tambang Teks1m dinaikkan lebih tinggi daripada kadar tambang teksi bajet, pemandu teksi bajet akan berhijrah kepada Teks1m, tetapi kesudahannya?
Pengguna memulaukan perkhidmatan Teks1m dan akhirnya SPAD merancang merombak semula kadar tambang.

2. Dalam keadaan pemandu teksi menghadapi kesukaran bertahan (mencari makan) terhadap pencerobohan kereta sapu Uber dan Grabcar, SPAD sedang merancang mewajibkan pemandu teksi memasang meter tambang yang dilengkapi sistem GPS. Persoalannya, siapakah yang bakal menanggung kos pembelian dan pemasang meter tersebut?

3. Merujuk pelepasan kawal selia tambang oleh SPAD terhadap kereta sapu yang ingin dilesenkan, ia jelas membuktikan SPAD cuba memberi kelebihan dan keistimewaan kepada syarikat aplikasi kereta sapu untuk menakluk industri teksi negara dan sekaligus menguburkan program (Teks1m) diilhamkan Datuk Seri Najib Razak.

Selain itu, pelepasan kawal selia tambang oleh SPAD memberi petanda awal kadar tambang kereta sapu Uber dan Grabcar yang lebih rendah daripada teksi tidak akan kekal, ia pasti akan dinaikkan lebih tinggi daripada tambang teksi oleh syarikat aplikasi kereta sapu apabila teksi sedia ada pupus.

4. Mengulas kenyataan bodoh SPAD, kononnya pemandu teksi masih mempunyai kelebihan berbanding pemandu kereta sapu dalam pelbagai cara, seperti kadar bayaran tol lebuh raya yang lebih rendah dan masih boleh mengambil penumpang di kawasan ditetapkan.

Kadar bayaran tol lebuh raya adalah penjimatan kepada penumpang yang menggunakan perkhidmatan teksi sah dan penjimatan itu tidak memberi sebarang kelebihan atau keuntungan kepada pemandu teksi seperti yang dibanggakan SPAD.

Berhubung kelebihan mengambil penumpang di kawasaan ditetapkan, Pers1m ingin bertanya, kawasan manakah yang dimaksudkan SPAD?

Cuba SPAD senaraikan kawasan tersebut, kemudian mampukah SPAD memberi jaminan kawasan itu bebas daripada aktiviti kereta sapu dan budaya monopoli oleh syarikat tertentu?

Fakta:

25 Februari 2015: Pers1m serah memorandum 10 tuntutan kepada perdana menteri, termasuk menuntut kenaikan kadar tambang teksi.

19 Mac 2015: 83 hari selepas penyerahan memorandum Pers1m kepada perdana menteri, SPAD mengumumkan kenaikan kadar tambang teksi secara membabi buta sehingga menyusahkan pemandu Teks1m dan menggugat kelancaran pelan migrasi teksi.

* Kamaruddin Hussain ialah timbalan pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi 1Malaysia.

Tiada ulasan: