HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Julai 2016

PRN Pulau Pinang lebih banyak keburukan daripada kebaikan, kata PKR

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic


SHAH ALAM: PKR menegaskan sebarang langkah mengadakan pilihan raya negeri (PRN) mengejut di Pulau Pinang akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan untuk Pakatan Harapan (PH).

"Antara pro dan kontra, terlalu banyak kontra, benda negatif yang timbul dari PRN ini. Kita akan berjumpa dengan DAP untuk beritahu sebabnya (ketidakyakinan)," kata Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin.

Beliau berkata DAP mempunyai hak untuk mendesak PKR memberikan persetujuan berhubung cadangan mengadakan PRN mengejut di Pulau Pinang pada tahun ini.

Bagaimanapun DAP juga perlu memahami pendirian parti yang masih belum yakin dengan keperluan mengadakan pilihan raya tersebut, ujarnya.

"Masing-masing boleh mendesak, tetapi pada parti kena memikirkan buruk dan baiknya, terutamanya dalam aspek PKR.

"Apa yang kita putuskan, buruk baiknya bukan pada PKR sahaja, tetapi kepada kerajaan Pulau Pinang dan PH, serta semua," katanya kepada Antarapos, hari ini.

Shaharuddin mengulas 'harapan' Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya PKR mengambil masa yang munasabah dalam memberikan sokongan mereka, sekali gus DAP tidak perlu menunggu terlalu lama berhubung keputusan PKR bagi mengadakan pilihan raya berkenaan.

Menurut Guan Eng, PRN perlu dilakukan dengan kadar segera pada tahun ini juga.

Mengulas lanjut, Shaharuddin berkata parti tidak menetapkan sebarang jangka masa tertentu dalam membuat keputusan.

"Jangka masa apa? Kita sebutkan bahawa kita masih tak yakin dengan PRN. Jika tak yakin, maknanya tak yakinlah. DAP kena yakinkan kita lagi alasan mengadakan PRN.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR malam tadi memutuskan bahawa parti itu masih belum yakin dengan cadangan DAP mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang.

Sehubungan itu PKR akan menghantar satu delegasi pimpinan tertingginya dalam masa terdekat untuk menerangkan pendirian berkenaan kepada DAP.


Tiada ulasan: