HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Julai 2016

‘Tindakan AS ke atas 1MDB selari tuntutan Islam’

 
Rakyat Malaysia tidak perlu terpedaya dengan umpan kaum dan agama kerana hakikatnya perlakuan jenayah tidak mengenal bangsa, budaya atau agama.


arif-sabri-1MDB

PETALING JAYA: Permohonan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk menyita aset berkaitan 1MDB bukan serangan menjatuhkan orang Melayu dan Islam di Malaysia.

Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz itu mempersoalkan dakwaan beberapa pihak yang berkata saman sivil satu bentuk konspirasi atau campur tangan AS dalam pentadbiran .

Sebaliknya, wakil rakyat DAP itu berkata tindakan undang-undang oleh penyiasat AS itu sejajar dengan tuntutan Islam memerangi rasuah dan salah laku.

“Misalnya jika ditangkap Shahrol Azral (bekas CEO 1MDB) dan Najib Razak, itu bukan tangkap Melayu. Jika kita tangkap Jho Low, kita bukan tangkap Cina tapi seorang yang bernama Jho Low. Kita hendak tangkap Eric Tan, bukan bangsa Cina.

“Kalau kita tangkap Arul Kanda, kita bukan tangkap India, tapi tangkap seseorang dari kaum itu. Kalau kita tangkap Khadem Qubaisy dan Badawy Husseini, kita tangkap dua individu, bukan bangsa Arab,” katanya.

Ariff berkata rakyat Malaysia tidak perlu terpedaya dengan umpan kaum dan agama yang diketengahkan pihak tertentu kerana hakikatnya perlakuan jenayah tidak mengenal bangsa, budaya atau agama.

Rabu lalu, DoJ memfailkan saman di Los Angeles untuk merampas aset berkaitan 1MDB bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang dibeli dengan wang didakwa dilesapkan daripada 1MDB, dalam kes rasuah terbesar di AS membabitkan entiti luar.

Tiada ulasan: