HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Julai 2016

Tangguh PRN dalil DAP semakin dominan dalam PH?

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] Perihal DAP mahu mengadakan pilihan raya negeri (PRN) Pulau Pinang secara mengejut demi menyelamatkan reputasi Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang kini dibelit isu integriti berikutan kes mahkamahnya, bukanlah rahsia lagi. 
 
Hakikat Guan Eng sendiri meluahkan rasa kecewanya betapa perundingan di kalangan pemimpin-pemimpin DAP berhubung strategi PRN itu boleh bocor mengesahkan isu itu memang dibincangkan secara terperinci oleh DAP.
 
Bagi DAP keputusan itu sudah muktamad. DAP yakin prestasi baik dalam PRN akan memadamkan sebarang keraguan bahawa imej dan integriti Guan Eng khususnya, dan DAP amnya, kini sudah merudum. 
 
Pencapaian baik DAP dalam PRN pasti menjadi satu referendum atau pungutan suara bahawa segala dakwaan rasuah terhadap Guan Eng adalah permainan politik Umno-BN yang mahu melemahkan DAP dan Pakatan Harapan (PH).
 
Namun campurtangan PKR menggencatkan pelaksanaan strategi politik itu. Parti itu mahu DAP menjelaskan apakah asas dan manfaatnya DAP mahu mengambil pendekatan sebegitu. 
 
Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memberitahu sidang media selepas mesyuarat Biro Politik PKR Selasa lalu bahawa partinya masih belum jelas dengan strategi DAP itu.
 
Tidak cukup dengan itu, PKR mengutus Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali; Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Pengarah Pilihan rayanya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ke Pulau Pinang untuk mendapat penjelasan lanjut.
 
Walhal pada hari berkenaan, Rabu 20 Julai lalu, Guan Eng sudahpun memohon untuk bertemu Yang Dipertua Pulau Pinang. Dikhabarkan bahawa Guan Eng ingin mendapat persetujuan Gabenor membubarkan Dewan Undangan Negeri.
 
PKR gusar PRN menerima nasib seperti Langkah Kajang
 
Kesungguhan PKR menyusul keputusan Biro Politiknya tidak menyokong PRN Pulau Pinang itu mungkin bersandarkan pengalaman pahitnya menggerakkan strategi Langkah Kajang untuk menurunkan menteri besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.
 
Tindakan yang dihitung mudah itu menjadi sulit dan mencemaskan apabila calon pengganti Khalid, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba-tiba berhadapan kemungkinan dipenjarakan kerana tuduhan liwat. 
 
PKR gusar kemungkinan kesilapan sama berulang. Apabila DUN dibubarkan belum tentu PRN boleh diadakan secepat mungkin. Ia boleh tertangguh lebih 60 hari. Dalam pada itu, banyak 'halangan' boleh berlaku. 
 
DAP mungkin mensasarkan pencapaiannya dalam PRN lebih baik. Bagaimanapun dengan pengundi Melayu rata-rata berpecah belah menyokong Umno, PAS, Amanah dan PKR, mungkin kerabat PH kurang berkesan merangsang pengundi Melayu menyokonh DAP.
 
Natijah kunjungan rombongan PKR itu merencatkan rentak projek PRN DAP. Sekonyong-konyongnya, DAP mengisytiharkan bahawa ia tidak akan bertindak secara unilateral dan akan merundingi kerabat PH lain – PKR dan Amanah. 
 
Adakah ini satu permulaan inisiatif memperbaiki imej PH yang agak robek dek ego dan mabuk kuasa dalam peristiwa pasca gugurnya PAS dari Pakatan Rakyat; PRN Sarawak dan pilihan raya kecil parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar?
 
Kebelakangan ini perpaduan PH di antara DAP, PKR dan Amanah tergugat hingga menggugat keyakinan rakyat terhadap solidariti pembangkang. Adakah 'kompromi' yang ditunjukkan DAP menangguh PRN cara memperbaiki keadaan?
 
 
Atau, adakah PKR berjaya meyakinkan DAP bahawa Umno-BN kini boleh disaingi dengan berkesan jika keunggulan perpaduan PH diperbaiki dan disokong pula parti politik baru yang dipelopori Tun Mahathir Mohamad?
 
Atau, adakah mesej yang dibawa Azmin ke Komtar ialah perhubungan PKR dengan PAS masih berpotensi dilonjakkan sehingga boleh 'memujuk' PAS kembali menjalin kerjasama dalam gerakan politik pembangkang?
 
Di samping itu adakah kemungkinan bahawa PKR dan DAP dapat menghidu kemelut baru dalam kontroversi 1MDB bersabit siasatan serentak di Amerika Syarikat, Singapura dan Switzerland, akan melemahkan lagi Umno-BN?
 
Justeru adakah congakan PKR dan DAP mereka perlu sedikit masa lagi untuk memanfaatkan 'campurtangan' asing dalam isu berkenaan untuk benar-benar melumpuhkan wibawa dan kekuatan BN?
 
DAP tak gusar bersendirian
 
Apapun perkiraannya, gelagat DAP dalam memperjuangkan kepentingannya sendiri ketika menghadapi cabaran mempertahankan wibawa Guan Eng dan parti itu menyerlahkan bahawa DAP tidak gusar bertindak sendirian.
 
Jika PAS berani melaungkan ia mampu bersendirian dalam politik, DAP pun boleh menghitung ia juga sejak PRU 2008 hingga 2013, ia sudah berjaya menjadi pola politik bagi pengundi bukan Melayu. Lantas ia juga mampu bersendirian.
 
Sifir DAP mungkin jika ia mampu mempertahankan Pulau Pinang tanpa banyak bantuan daripada PKR dan Amanah, tidak ada sebab mengapa ia perlu risau pengundi bukan Melayu akan kembali menyokong BN.
 
Projek PRN ini mungkin boleh menjadi bukti DAP tidak kurang keberanian untuk membuat perubahan. Sebab itu, ia berani berfikir di luar kotak amalan politik biasa dan memaksa PRN diadakan di Pulau Pinang.
 
Peristiwa menyindir dan menyinggung perasaan pengundi Melayu dalam mesej hari raya aidilfitri oleh ahli parlimennya, Nga Kor Meng tidak sedikitpun diambil peduli pemimpin parti itu. Mungkin itu dalil DAP tidak terlalu berharap undi Melayu.
 
DAP juga tidak gentar bersilang pendapat dengan PKR berhubung peletakan calon di PRN Sarawak atau menghukum wakil rakyat PKR yang enggan patuh pada arahan dan tindakan politiknya di Pulau Pinang.
 
Mungkin bagi DAP yang akan bermasalah dalam PRU akan datang ialah PKR dan Amanah yang terpaksa berebut kerusi dewan undangan negeri dan parlimen dengan PAS dan Umno.
 
Mungkin bagi DAP majoriti undi bukan Melayu pasti menyokongnya. Walaupun ia mungkin sedar ia tidak boleh menguasai Dewan Rakyat tetapi dengan undi Melayu bercempera di antara Umno, PKR, PAS, Amanah, dan Dr Mahathir, keberangkalian ia mengusai beberapa negeri lain, adalah tinggi.
 
Justeru itulah agaknya, PKR perlu mengutus rombongannya menghadap Guan Eng disinggahsananya di Komtar dan tidak 'ambil hati' Guan Eng tidak hadir di mesyuarat Biro Politik PKR  untuk menjelaskan mengapa ia perlu adakan PRN.
 
Dominasi DAP dalam Pakatan Harapan semakin ketara. Mungkinkah kehadiran Tun Mahathir dalam kancah pembangkang akan mengubah keadaan? Atau, DAP mencongak bahawa demi survival politiknya, Mahathir juga perlu 'kow tow' padanya?   


 

Tiada ulasan: