HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Julai 2016

SPAD pertimbang perkenal 'kad pemandu' kepada operator Grabcar, Uber

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
MUAR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mempertimbangkan cadangan memperkenalkan sistem 'Kad Pemandu' kepada pemandu perkhidmatan Grabcar dan Uber.
 
Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata perkara itu perlu dilihat secara menyeluruh memandangkan pemandu yang terlibat adalah individu persendirian dan tidak mempunyai lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).
 
"Kita akan membentangkan perkara ini kepada kerajaan khasnya mengenai syarat-syarat mentransformasikan industri pengangkutan awam yang berasaskan konsep teksi agar tidak timbul perasaan tersisih termasuk golongan pemandu teksi (biasa) yang menganggap mereka dibebankan oleh sistem sewa beli atau pajak," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan laluan baharu bas Ekspres Mayang Sari di Bukit Pasir, di sini Rabu.
 
Turut hadir pemilik Mayang Sari Sdn Bhd Datuk Azman Mohd Arof.
 
Syed Hamid berkata SPAD akan mengadakan perbincangan lebih terperinci dengan  pemain industri sebelum memuktamadkan keputusan berhubung cadangan itu.
 
SPAD dalam cadangan Program Transformasi Industri Teksi yang dikemukakan kepada kerajaan baru-baru ini antara lain menjelaskan tentang perlunya membenarkan dari segi undang-undang perkhidmatan Grabcar dan Uber serta menyamaratkan medan persaingan untuk pemandu teksi.
 
Mengenai Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), katanya projek yang dimajukan oleh MyHSR Corp Sdn Bhd itu telah memasuki fasa kedua dan SPAD selaku pihak yang mengawal selia pelaksanaan projek itu akan memastikan ia berjalan mengikut jangka masa dan spesifikasi yang dipersetujui kerajaan.
 
"Sebagai langkah persediaan sebelum beroperasi, SPAD telah menghantar pegawai ke negara yang mempunyai kereta api laju bagi mempelajari kepakaran mereka," katanya.
 
Syed Hamid berkata limpahan kekayaan projek itu akan turut dinikmati masyarakat yang mendiami kawasan stesen persinggahannya termasuk Muar.
 
HSR yang disasarkan beroperasi pada 2026, akan mempunyai lapan stesen iaitu Bandar Malaysia, Putrajaya, Seremban, Ayer Keroh, Muar, Batu Pahat, Iskandar Puteri dan Singapura.
 
Projek sepanjang 350 kilometer (km) itu akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada hanya 90 minit dengan kelajuan melebihi 300km sejam.
 
 

Tiada ulasan: