Oleh Hafiz Zainuddin
KUALA LUMPUR: Kebimbangan kehilangan kerusi melibatkan pertembungan tiga penjuru jika Pilihanraya Negeri Pulau Pinang diadakan adalah risiko yang telah diambil kira dan memerlukan pendekatan strategik.
Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah yang terbaik adalah untuk mengelakkan berlakunya pertembungan.
“PKR ada menyatakan kerisauan dan kurang bersetuju. Ada kebimbangan, pandangan yang berbeza dan mengambil pendekatan yang berhati-hati, memang itu adalah pandangan mereka dan kita hormati pandangan tersebut,” ujarnya ketika di wawancara Roketkini.com.
Beliau berkata perbincangan lanjut berhubung pertembungan tiga penjuru perlu dilakukan selepas mendapat persetujuan mengadakan Pilihanraya Negeri.
“Buat masa ni kita belum sampai ke tahap itu. Kita perlu buat keputusan dulu sama ada kita setuju untuk adakan Pilihanraya Negeri atau tidak,” jelasnya.
Yang pasti, kata Ahli Parlimen Seremban itu, DAP tidak mempunyai halangan jika wujud sebarang rundingan kerusi bersama PAS bagi mengelakkan pertembungan.
“PKR nak berunding dengan PAS kita tak ada halangan. Saya rasa PKR boleh saja adakan rundingan dengan pihak PAS. Tetapi sama ada PAS sanggup berunding atau tidak itu perkara lain.
“Saya nak tegaskan, bukannya kita nak tiga penjuru, tetapi PAS sudah awal-awal lagi sebelum rundingan dijalankan, dia dah umum dia nak bertanding semua kerusi, inilah sikap yang ditunjukkan oleh PAS,” katanya.
Bagaimanapun, Anthony memberitahu jika isu melibatkan pertembungan tiga penjuru tidak dihadapi sekarang, ia tetap akan dihadapi Pakatan Harapan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 tidak lama lagi.
“Jadi bukan soalnya kita nak masuk gelanggang tiga penjuru, hakikatnya kalau tidak dapat kita elakkan, maka kita perlu hadapi kemungkinan ini.
“Kalau kita tak hadapi kemungkinan ini sekarang pun, PRU-14 kita akan hadapi,” katanya lagi. –Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan