HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Julai 2016

Tidak tepat bandingkan PRN dengan PRK, kata PKR kepada DAP

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR menyangkal kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang membandingkan pilihan raya negeri Pulau Pinang dengan pilihan raya kecil didakwa digerakkan PKR tanpa berunding dengan sekutu parti pembangkang.
 
Pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, perbandingan Guan Eng itu tidak tepat kerana pilihan raya negeri - jika diadakan - melibatkan 40 kerusi dalam DUN Pulau Pinang, serta memberi implikasi kepada lebih satu parti.
 
Katanya ia berbeza dengan tiga pilihan raya kecil yang disebut Lim sebelum ini kerana memberi kesan langsung kepada PKR yang meletakkan calonnya.
 
"PKR sentiasa menjadi rakan yang konsisten dalam gabungan politik sama ada ia adalah Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan.
 
"Kami sentiasa berunding, mendengar dan bertindak berdasarkan pandangan dibangkitkan rakan dalam gabungan itu, dan akan terus begitu dalam usaha bersama membina Malaysia lebih baik," katanya dalam kenyataan malam tadi.
 
Terdahulu Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata parti itu akan membuktikan mereka adalah rakan yang boleh diharap dengan mendapatkan persetujuan bersama mengenai cadangan mengadakan pilihan raya di Pulau Pinang.
 
Katanya, langkah itu dibuat walaupun PKR tidak bertindak sama untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK) di kawasan parlimen Permatang Pauh serta DUN Penanti di Pulau Pinang serta Kajang di Selangor.
 
Menurut Fahmi PRK Permatang Pauh pada 2008 dan 2015 dibuat kerana 'pendakwaan politik berterusan' ke atas pemimpin umum parti berkenaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
PRK pada 2008 diadakan apabila penyandangnya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletak jawatan bagi membolehkan Anwar kembali ke parlimen selepas tempoh larangan ke atasnya - selama lima tahun - berakhir.
 
PRK Kajang tahun lalu pula diadakan apabila Anwar dihukum penjara untuk kali kedua.
 
Kata Fahmi PRK Penanti pada 2009 pula dibuat sebagai tindak balas kebimbangan DAP terhadap prestasi ADUN di kawasan berkenaan.
 
Menurutnya untuk PRK Kajang pula ada beberapa perbincangan dengan DAP dan pimpinan Pakatan Rakyat dilakukan sebelum ia dibuat.
 
"Selepas kewajaran untuk PRK itu dibentangkan pimpinan DAP memberi sokongan kepada langkah mengukuhkan pentadbiran di Selangor," katanya.
 
PKR setakat ini satu-satunya parti dalam Pakatan harapan yang masih belum memberi kata putus mengenai  cadangan pilihan raya mengejut itu, selepas Amanah memberikan persetujuan mereka. 
 
 

Tiada ulasan: