KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan tiada keperluan untuk memanggil Naib Ketua Pemudanya, Khairul Azwan Harun susulan laporan polis dibuat berkait dakwaan wujud konspirasi pihak tertentu untuk menggulingkan dan kerajaan Malaysia.
Najib yang juga Presiden Umno berkata, beliau tidak dapat mengulas isu itu memandangkan tindakan tersebut dibuat bukan atas nama parti.
"Mungkin dia ada maklumat tertentu. Terserah kepada pihak polis untuk tentukan sama ada, (laporan itu) ada asas atau sebaliknya," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, di sini, hari ini.
Pada Selasa lepas, Khairul Azwan membuat laporan polis terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Jelasnya, tindakan Khairul Azwan itu atas kapasiti individu di mana semua individu mempunyai hak.
"Kalau rasa ada sesuatu yang perlu disiasat dia ada hak. Kita tak boleh paksa," katanya.
Sementara polis mengesahkan telah mengambil keterangan daripada Khairul Azwan berhubung laporan polis dibuatnya itu, hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan