HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Julai 2016

Letaklah jawatan Wan Azizah, kata Pemuda Gerakan

MALAYSIAKINI

 

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu meletakkan jawatan jika kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP meneruskan rancangan mengadakan pilihan raya mengejut, kata Pemuda Gerakan.

"Adalah tidak logik untuk beliau terus menjadi ketua pembangkang jika pandangannya mengenai rancangan tersebut tidak lagi dihormati oleh sekutu-sekutu dalam pakatannya," kata ketua sayap berkenaan, Tan Keng Liang dalam kenyataan, hari ini.

Tan menambah, selaku pemimpin utama pembangkang, pendapat dan arahan Wan Azizah seharus dipandang serius dan mempunyai pengaruh yang besar dalam keputusan oleh kalangan parti-parti dalam Pakatan Harapan.

"Minggu lepas, Wan Azizah mengumumkan tidak ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya negeri lebih awal di Pulau Pinang. Beliau juga berkata beliau tidak yakin dengan matlamat dan objektif untuk mengadakannya," jelasnya.

Walaupun begitu, ujar Tan, DAP terus mengulangi hasrat untuk meneruskan dengan rancangan mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang.

"Justeru, Pemuda Gerakan kini keliru sama ada Wan Azizah Wan Ismail masih menduduki kerusi pemimpin utama pembangkang atau sebaliknya?" tanya Tan.

Semalam, Pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, adalah tidak tepat untuk Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng membandingkan pilihan raya negeri Pulau Pinang dengan pilihan raya kecil yang didakwa digerakkan PKR tanpa berunding dengan sekutu parti pembangkang.

Katanya, pilihan raya negeri - jika diadakan - melibatkan 40 kerusi dalam DUN Pulau Pinang, serta memberi implikasi kepada lebih satu parti.

Ujar beliau, ia berbeza dengan tiga pilihan raya kecil yang disebut Lim sebelum ini kerana memberi kesan langsung kepada PKR yang meletakkan calonnya.

"PKR sentiasa menjadi rakan yang konsisten dalam gabungan politik sama ada ia adalah Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat atau Pakatan Harapan.

"Kami sentiasa berunding, mendengar dan bertindak berdasarkan pandangan dibangkitkan rakan dalam gabungan itu, dan akan terus begitu dalam usaha bersama membina Malaysia lebih baik," katanya dalam kenyataan semalam.

Tiada ulasan: