DIKEMASKINI SUNGAI PETANI - Seorang guru ganti ditahan reman selama empat hari untuk membantu siasatan bagi kes tiga murid berusia 10 tahun hingga 2 tahun cedera dirotan di pusat tahfiz, di sini, baru-baru ini yang menjadi viral di laman sosial.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Balkhis Abdul Halim terhadap suspek berusia 27 tahun, sehingga 1 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan cedera.
Suspek tiba dengan berkain pelekat dan berbaju T di Bilik Reman Mahkamah Sungai Petani, di sini, dengan kedua-dua tangannya bergari pada jam 9.30 pagi, sebelum keluar kira-kira dua jam kemudian sejurus perintah tahanan reman dikeluarkan, menaiki kenderaan polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata suspek ditahan di Parit Buntar, Perak, pada jam 10.10 malam, semalam.
Sehingga kini, beliau berkata polis sudah mengambil keterangan daripada dua murid terlibat berusia 10 dan 12 tahun, masing-masing berasal dari Tikam Batu, Sungai Petani dan Bayan Lepas, Pulau Pinang.
"Seorang lagi mangsa bagaimanapun belum dapat dihubungi," katanya.
Md Zukir berkata siasatan awal polis mendapati ketiga-tiga mangsa dirotan kerana cuba melarikan diri dari maahad tahfiz itu ketika waktu Subuh, Isnin lalu.
Beliau berkata suspek yang merupakan guru ganti di maahad tahfiz itu mencari dan menemui pelajar terbabit berhampiran Ibu Pejabat Polis Kuala Muda lalu membawa mereka pulang sebelum dirotan di dalam bilik kuliah di hadapan rakan-rakan lain.
“Akibat kejadian itu, ketiga-tiga mangsa mengalami kecederaan lebam pada badan dan luka di kepala,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JPN), Dr Norhizan Ismail mengesahkan seorang daripada tiga mangsa telah dimasukkan ke wad di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), pagi ini.
"Memandangkan kes ini di dalam siasatan polis, pihak hospital dan JPN tidak akan mengemukakan sebarang kenyataan untuk tidak mengganggu siasatan pihak polis," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan