HALAMAN SANTAI

Selasa, 26 Julai 2016

'Tak habis-habis fitnah PAS,' kata Idris

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
SHAH ALAM: "Kalau marah, jangan hilang rasional," demikian menurut Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad, merujuk tindakan pihak yang menuduh parti Islam itu membela Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kenyataan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS). 
 
Beliau berkata, parti itu juga mahu memberi peringatan kerana tidak mahu AS menjadikan isu pendedahan DOJ itu sebagai alasan untuk melakukan sesuatu kepada negara ini.
 
"Tak habis-habis hendak fitnah kepada PAS. Terbaru kata PAS bela (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) kerana isu kenyataan DOJ mengenai wang RM4 bilion. Kalau benci jangan melampau sangat.
 
"Kalau marah jangan hilang rasional. Kalau berbeza pandangan jangan fitnah. Kalau pandai, jangan perasan semua kita tahu.
 
"PAS hanya mengingatkan sahaja. Siapa tidak kenal AS terhadap negara umat Islam. Kononnya Osama Laden sembunyi di Afghanistan, apa yang terjadi selepas itu. Memburu kumpulan al-Qaeda di Iraq, selepas itu apa yang terjadi.
 
"Di Syria, atas nama hendak memerangi IS, rakyat Syria menderita. Ini peringatan umum. PAS konsisten mengenai hal kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
 
Sebelum ini, DAP mendakwa PAS membela Najib selepas Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan sebarang tuduhan mahupun dakwaan terhadap Perdana Menteri perlu disertakan dengan bukti dan saksi yang adil.
 
Pemimpin-pemimpin Amanah juga sebelum ini menuduh Hadi sebagai mesra Umno, lantaran beberapa kenyataannya yang seolah menyokong Najib.
 
Presiden Amanah, Mohamad Sabu ketika Majlis Makan Malam anjuran DAP Selangor malam Ahad mendakwa ada sebuah parti Melayu yang kini menjadi 'tongkat' baru Umno.
 
Walaupun Mohamad tidak menyebut PAS secara terbuka namun gambaran yang diberi mengenai parti yang dimaksudkan agak jelas.
 
Ini ekoran kenyataan Hadi beberapa hari lalu yang berkata PAS tidak berhasrat untuk mendesak Najib berundur ekoran isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas DOJ Amerika Syarikat mengemukakan saman sivil terhadap syarikat pelaburan kerajaan itu.
 
Hadi turut menjelaskan, bukan urusan PAS untuk menentukan sama ada Najib perlu undur atau sebaliknya.
 
 

Tiada ulasan: