Laporan polis yang dibuat Pemuda Umno berkemungkinan berkait rapat dengan dokumen permohonan yang difailkan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) di mahkamah untuk menyita aset-aset berjumlah lebih AS$1 bilion yang dipercayai diperolehi secara haram melalui penyelewengan wang sebanyak AS$3.5 bilion (RM14 bilion) yang dimiliki oleh 1MDB.
Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan Pemuda Umno itu sebenarnya, ingin menyatakan bahawa fakta-fakta yang terkandung di dalam dokumen tersebut, adalah fakta-fakta yang bersumberkan daripada hasil penyiasatan agensi-agensi penguatkuasaan di Malaysia seperti SPRM dan Bank Negara Malaysia di mana hasil siasatan ini telah dibocorkan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.
"Ini membuktikan kertas siasatan pihak penguatkuasa Malaysia telah berjaya membuktikan kewujudan kes penyelewengan dan berlaku kecurian wang 1MDB yang dilakukan oleh mereka yang disebut oleh DOJ.
Namun tindakan selanjutnya yang sepatutnya diambil oleh badan perundangan Malaysia terhalang oleh cengkaman kuasa politik PM Najib umno BN yang begitu kuat." ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Mahfuz lagi, Khairul Azwan mengakui mewakili Pemuda Umno ini bermaksud laporan polis dibuatnya adalah keputusan Pemuda Umno dan Khairi Jamaludinsebagai Ketua Pemuda Umno adalah bertaraf "Naib Presiden Umno".Ini bermakna laporan polis tersebut dibawah restu MT Umno ujarnya.
"Satu kejahatan pemimpin politik Umno terhadap pegawai tinggi dan kakitangan kerajaan.
"Saya tidak terkejut jika benar SPRM atau Bank Negara berkongsi hasil siasatan mereka dengan pihak berkuasa negara asing termasuk Amerika. Bahkan perkara ini diakui sendiri SPRM sebelum ini.
"Dalam konteks memerangi jenayah global dan rentas sempadan seperti pengubahan wang haram, pembiayaan jenayah keganasan dan korupsi, rangkaian kerjasama dan perkongsian maklumat serta risikan di antara badan-badan penyiasatan jenayah pelbagai negara berdasarkan kepada perjanjian bersama atau konvensyen antarabangsa seperti UN Convention Against Corruption 2004 adalah sesuatu yang memang telah menjadi amalan selama ini," jelasnya.
Tambah Mahfuz lagi, laporan polis ini sebenarnya membuka ruang kepada ketiga-ketiga tokoh tersebut dan agensi-agensi penguatkuasa seperti SPRM, Bank Negara dan Jabatan Audit Negara yang telah menjalankan siasatan ke atas 1MDB untuk mendedahkan kepada rakyat Malaysia apakah hasil sebenar penyiasatan yang dijalankan mereka.
Sekiranya terbukti hasil penyiasatan yang dijalankan oleh agensi-agensi penyiasatan di Malaysia adalah sama sebagaimana fakta-fakta kes yang terkandung di dalam dokumen DOJ tersebut,ujarnya, tidak timbul isu maklumat hasil siasatan tersebut telah direka, dipalsukan atau diputar belit sebagaimana yang didakwa oleh Pemuda Umno.
"Laporan polis oleh Pemuda Umno ini juga dengan sendirinya menempelak dan menafikan dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh beberapa orang pemimpin Umno seperti Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Abdul Rahman Dahlan serta media masa dan bloger-bloger pro Umno yang menyatakan fakta dan maklumat di dalam dokumen DOJ adalah hanya semata-mata bersumberkan kepada maklumat yang dikutip dari laman Sarawak Report dan juga maklumat yang dibekalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Khairuddin Abu Hassan," tegasnya.
Sidang media Peguam Negara Amerika Syarikat pada 21 Julai yang lalu di mana kerajaan AS menyatakan dengan jelas bahawa maklumat yang terkandung di dalam dokumen DOJ tersebut adalah berdasarkan kepada hasil siasatan yang dijalankan oleh agensi-agensi seperti FBI dan IRS dan pada masa yang sama kerajaan Amerika juga mengucapkan penghargaan diatas keberanian SPRM yang turut sama menyiasat kes 1MDB ini.
Pada 26 Julai lalu Pergerakan Pemuda Umno melalui Naib Ketuanya, Khairul Azwan Harun membuat laporan polis terhadap Tan Sri Zeti Akhtar Abdul Aziz bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sr Abdul Gani Patail Bekas Peguam Negara dan Tan Sri Abu Kassim Mohamed Ketua Pesurujaya SPRM berkonspirasi menjatuhkan perdana menteri dan kerajaan disebalik penyiasatan kes skandal 1MDB.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan