SHAH ALAM: Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham
Shaharin memberi tempoh sehingga esok kepada Exco Kerajaan PKR Selangor
Elizabeth Wong untuk membuktikan status tanah di Paya Wet Land tidak
ditukar seperti yang dinafikan sebelum ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, Elizabeth perlu
memberi penjelasan bagaimana tanah di Lot 68504 Mukim Tanjong Dua Belas,
Kuala Langat ditukar status dan kegunaannya.
“Saya beri masa kepada dia sehingga Isnin ini untuk membuktikan status
tanah tersebut. Jika beliau gagal, saya akan keluarkan semua bukti yang
ada dan rakyat akan tahu penipuan Kerajaan Menteri Besar, Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali,” katanya.
Kata Chegubard, sepatutnya status tanah itu tidak boleh ditukar kerana
lot tanah tersebut terletak di dalam kawasan Paya Wet Land yang telah
diiktiraf sebagai kawasan hutan warisan dunia dalam Perjanjian Ramsar
1995.
“Dia menipu, bukan setakat geran tanah yang telah ditukar status, dalam simpanan saya ada dokumen kronologi status itu ditukar.
“Dia sebagai exco sudah tentu tahu lot tanah itu pernah ditolak
permohonan penukaran status sejak zaman Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi
Menteri Besar,” katanya yang dipetik SelangorPost.
Apa yang dikesalkan, Chegubard berkata, penafian yang dilakukan
Elizabeth secara tergesa-gesa dan pantas ini menunjukkan seperti ada
sesuatu yang disorokkan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada rakyat.
“Exco itu jawab tergesa-gesa sehingga membuat penafian palsu.
“Kita tunggulah dia buktikan. Jika dia gagal, saya cabar dia untuk
meletakkan jawatan sebagai exco kerana menipu terhadap rakyat Selangor,”
katanya lagi.
Selain SAMM, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan
Barisan Nasional (BN) turut menuntut penjelasan yang sama daripada
kerajaan negeri.
Isu penukaran status tanah Paya Indah Wetlands itu dibongkar Solidariti
Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan menampilkan bukti minit mesyuarat exco
sebagai bukti untuk menyokong hujahnya.
Kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Azmin Ali pada sekitar
Febuari 2015 memulakan usaha pelengkungan semula (re zone). Azmin
mengambil alih jawatan menteri besar daripada tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim pada September 2014.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan