HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Julai 2016

Pluralisme, sebahagian daripada ajaran Islam – Pakar

 
Kecelaruan yang berlaku pada masa kini bukan masalah berakar umbi daripada agama tetapi politik.


Nader-Hashemi-1


KUALA LUMPUR: Pandangan dan fahaman negatif terhadap pluralisme di Malaysia mengejutkan Pengarah Pusat Kajian Timur Tengah di Universiti Denver, Nader Hashemi.

Nader menjelaskan, pluralisme adalah sebahagian daripada ajaran Islam namun pedekatan negatif yang digunakan oleh sebuah negara yang majoritinya Islam (Malaysia) agak “mengecewakan”.

“Dari aspek sejarah, Islam adalah agama pluralis dan ia amat mengejutkan apabila anda di sini melihat dalam situasi sebaliknya,” katanya dalam forum meja bulat bertajuk “Hak Asasi Manusia dan Kepelbagaian: Cabaran Masyarakat Islam” di Universiti Nottingham, di sini, hari ini.

“Empayar Oman kaya dengan kepelbagaian budaya, begitu juga sewaktu tempoh Andalusia,” tambahnya.
Beliau berkata, Islam adalah agama yang menekankan kepentingan menghormati kepelbagaian dan perbezaan sesama manusia sebagai satu kewajipan dan ia jelas dilihat dalam kehidupan Nabi Muhammad dan al-Quran.

“Dalam peperangan antara umat Islam di Madinah dan bukan Islam di Mekkah, Mekkah mengalami kemelesetan ekonomi yang teruk. Tanpa mengira agama, Rasulullah memutuskan untuk menghantar 500 dinar kepada orang miskin bukan Islam di sana dan ia dilakukan di sebalik kebenaran bahawa orang Islam di Mekkah terpaksa lari keluar dari sana untuk menyelamatkan diri.”

Beliau juga memetik Al-Quran ayat 13, Bab 49; “Wahai manusia, sesungguhnya Kami mencipta kamu dari lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.”

Nader menyatakan Quran juga mengajak semua orang saling mengenali antara satu sama dan bukan memusnahkan satu sama lain.

Beliau beranggapan, kecelaruan yang berlaku pada masa kini bukan masalah berakar umbi daripada agama tetapi politik.

“Banyak negara Islam mempunyai pemimpin yang mementingkan diri sendiri sehingga mengembangkan fahaman kononnya penerimaan hak asasi manusia dan pluralisme tidak Islamik tetapi sebenarnya adalah pemesongan ajaran Islam.”

Beliau mendakwa bahawa masalah ini berasal dari tafsiran Wahabbi yang berkembang dari Arab Saudi.

Tiada ulasan: