SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim hari
ini mendesak kerajaan negeri Selangor mendedahkan laporan berkaitan
keputusannya membenarkan permohonan mengubah status tanah Paya Indah
Wetlands daripada 'zon pertanian' kepada 'zon pembangunan'.
Ujarnya, semua rakyat negeri itu terutama penduduk di sekitar Lot 68054
Mukim Tanjong Dua Belas, Kuala Langat, berhak mendapat penjelasan
terperinci mengenai pelan pembangunan yang dirancang kerajaan negeri.
Khalid berkata demikian mengulas pendedahan Solidariti Anak Muda
Malaysia (SAMM) berhubung dakwaan penukaran tanah Paya Indah walaupun
kawasan itu digazetkan sebagai hutan simpan warisan dunia keenam di
negara ini dan juga kawasan tadahan air utama Selangor.
"Orang awam juga berhak mendapat akses kepada semua laporan dalam apa
jua bentuk terutama laporan penilaian impak sosial dan alam sekitar
tanpa sebarang sekatan.
"Akses awam penuh kepada semua laporan dan pelan pembangunan ini
penting memandangkan kawasan terbabit bukan sahaja telah digazetkan
sebagai hutan simpan warisan dunia malah ianya juga berfungsi sebagai
kawasan tadahan air utama bagi negeri Selangor," ujar Khalid dalam
kenyataan mediannya, petang tadi.
Menurut Khalid, semasa menjawat jawatan yang kini disandang Datuk Seri
Azmin Ali, beliau sudahpun menolak permohonan pemaju untuk menukar
status tanah berkenaan berikutan ia berisiko tinggi untuk dibangunkan.
"Pembangunan luar kawalan di kawasan ini berisiko tinggi kerana jika
berlaku sebarang bencana, kita bakal berhadapan dengan implikasi alam
sekitar buruk yang besar terutama banjir dan pencemaran sumber air.
"Hasil penelitian pelbagai unjuran risiko semasa berkhidmat sebagai
Menteri Besar, saya yakin kata putus yang saya ambil untuk menolak
permohonan penukaran status ini amat wajar, tanpa mengendahkan tekanan
atau cubaan mempengaruhi keputusan oleh ramai pelobi korporat dan
politik," ujarnya.
Khalid dalam pada itu turut menegur Azmin agar lebih berhati-hati dalam
menurunkan tandatangan sebagai tanda persetujuan dalam mana-mana urusan
pentadbiran kerana ia akan memberikan kesan kepada kredibilitinya
sebagai menteri besar.
"Rakyat maklum bahawa "pen sakti" yang dipegang oleh YAB Menteri Besar
mempunyai kuasa besar untuk menandatangani mana-mana permohonan dan
urusan berkaitan tanah.
"Namun, kuasa ini harus digunakan dengan penuh berhemah, telus dan
bertanggungjawab serta berdasarkan adab dan tata kelola pentadbiran yang
baik.
"Dalam hal ini, saya menyeru agar Datuk Menteri Besar bersikap matang
dan mengenepikan politiking keterlaluan kerana rakyat bukanlah pengemis
tetapi pemberi mandat kepada wakil rakyat untuk memastikan aset negeri
yang hakikatnya hak rakyat diurus sebaik mungkin," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan