Oleh Syahril A Kadir
PADA hari
Jumaat 26 Disember 1969, negara telah dikejutkan apabila seorang lelaki
tua yang dikenali sebagai Mat Siam, membuat pengakuan terbuka yang
dialah sebenarnya MAT KILAU, anak Pahang yang terkenal dengan kehebatan
dan keberaniannya menentang penjajahan Inggeris pada akhir abad ke-19
dan awal abad ke-20.
Pada hari
tersebut, Mat Kilau telah pergi ke sebuah masjid di Kampung Masjid untuk
bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah membaca
Al-Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.
Pengisytiharan
ini telah MENGGEMPARKAN orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan
sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8
Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa
Mat Siam itu adalah Mat Kilau.
Setelah
DISAHKAN, maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam
diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang, YAB Tan Sri
Haji Yahaya Mohd Seth. Namun empat hari selepas pengumuman pengiktirafan
terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana keuzuran.
Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun.
SIAPA MAT KILAU NI?
Generasi muda sekarang mungkin hanya pernah membaca kisah-kisahnya dalam buku teks sejarah. Dan aku tak terkejut kalau ada yang confused antara Mat Kilau dan raja gelek Datuk M Daud Kilau!
Kisah
perjuangannya memerangi penjajah Inggeris pada akhir abad ke-19 dan
awal abad ke-20 adalah tiada tolok bandingannya dalam menegakkan maruah
bangsa daripada terus diperkotak-katikkan.
Mat Kilau
bersama ayahnya Tok Gajah dan tokoh-tokoh pejuang lain termasuk Datuk
Bahaman, Pawang Nong, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahid, Mat Lela dan Haji Mat
Nor tidak pernah mengenal penat-lelah menentang penjajah dengan kudrat
empat tulang mereka.
Mat Kilau
dan Tok Gajah pernah menggali parit yang dalam setinggi pokok kelapa dan
sepanjang 300 meter bagi menghadapi serangan 2,000 tentera Inggeris
dengan bantuan askar upahan Sikh dan Gurkha pada 1892. Setelah gagal
menawan kampung berkenaan, pihak Inggeris bertindak kejam membakar
seluruh kampung berkenaan dalam bulan Ramadan yang menyebabkan kira-kira
300 penduduk maut.
Ada juga
diceritakan amalan pahlawan itu berasaskan ayat-ayat al-Quran sehingga
beliau dikatakan ditetak tidak lut, ditembak tidak tembus dan boleh
ghaib. Terdapat juga kisah Mat Kilau berjaya mengalahkan harimau dengan
mengguna tangan sahaja ketika diserang haiwan berkenaan ketika berjalan
kaki ke Stesen Kereta Api Bukit Ibam, Pahang.
Selain
menjadi buruan Inggeris, Mat Kilau dan pahlawan Melayu lain turut diburu
oleh Raja Siam, Raja Chulalongkorn Ke-V yang bersekongkol dengan
penjajah itu.
Sultan
Kelantan turut diugut oleh Raja Siam supaya menangkap Mat Kilau yang
ketika itu bersembunyi di Hulu Kelantan jika tidak mahu sesuatu yang
buruk menimpa negeri itu.
Dengan
kebijaksanaan Sultan Kelantan ketika itu iaitu Sultan Mansur, Mat Kilau
telah diisytihar mati ketika ditangkap pada 1895 dan keranda yang
diletakkan BATANG PISANG kemudiannya ditanam di Bunut Payong di negeri
itu.
Sebenarnya
Mat Kilau tidak mati sebaliknya berpindah-randah di merata tempat bagi
mengelak dikesan termasuk Kampung Jambu, Patani; Kuala Berang,
Terengganu dan akhirnya di Batu Lima.
Nota: Dua
tahun lepas sewaktu terlibat dalam kerja-kerja sukarela membersihkan
kawasan banjir di Jerantut, Pahang, aku kebetulan lalu di Kampung
Kedondong, Pulau Tawar, tempat di mana jenazahnya dikebumikan. Semoga
Allah mencucuri rahmat ke atas roh perjuangan anak bangsa yang semakin
dilupakan ini. Al-Fatihah.
Artikel ini telah disiarkan lebih awal di Facebook Syahril A Kadir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan