KUALA LUMPUR: Baik parti pihak kerajaan mahupun pembangkang tidak
dibenarkan sama sekali berhimpun di Dataran Merdeka, kata Menteri
Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Sebaliknya, beliau menawarkan PAS Stadium Titiwangsa di Kuala Lumpur,
jika parti itu berminat memberi penerangan kepada orang ramai
terutamanya umat Islam yang mahu menyokong pindaan Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355.
"Seperti mana yang kita telah putuskan segala perhimpunan tidak boleh dibenarkan di Dataran Merdeka.
"Tak kira di pihak kerajaan, PAS atau parti pembangkang kita tak
benarkan adakan program mahupun perhimpunan di Dataran Merdeka dan itu
keputusan yang telah kita ambil.
"Kalau dia (PAS) nak Stadium Titiwangsa kita boleh bagi," kata Tengku Adnan kepada pemberita.
Terdahulu Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno merasmikan
majlis sambutan tahun ayam sempena Tahun Baru Cina akan datang di sebuah
pusat membeli-belah terkemuka di Kuala Lumpur.
PAS akan menganjurkan himpunan besar pada 18 Februari depan untuk memberi penerangan kepada orang ramai.
Mereka menyasarkan kehadiran 300,000 orang di Dataran Merdeka dalam
acara lapan jam bermula 3 petang yang disokong beberapa NGO Islam itu.
Usul itu akan dibincangkan dalam sesi parlimen depan setelah mendapat laluan daripada kerajaan di parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan