M FAQIH
KETIKA proses pengundian dijalankan bermula jam 3
petang tadi, perwakilan yang layak mengundi kelihatan beratur panjang.
Mereka berbaris panjang menunggu giliran untuk membuang undi.
Bermula dari dalam Dewan Datuk Mohd Fadzil Mohd Noor sehingga ke
tingkat satu, tempat pembuangan undi berlangsung. Hampir jam 6 petang
masih ada perwakilan yang beratur di tangga untuk naik ke tingkat atas.
Pengundian secara elektronik (e-voting) hanya membenarkan 10 orang
bagi satu kumpulan untuk masuk ke bilik tempat mengundi. Kaedah mengundi
secara e-voting pertama kali diperkenalkan PAS.
Biar pun ramai perwakilan yang merungut kerana terpaksa beratur
panjang, namun mereka tetap menunai tanggungjawab bagi memilih pemimpin
untuk membantu Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan
timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi mengemudi parti sesi
2017-2019.
Empat calon bertanding merebut kerusi Naib Presiden. Tiga calon
mempertahankan jawatan iaitu Ustaz Idris Ahmad, Datuk Mohd Amar Abdullah
dan Datuk Iskandar Abdul Samad.
Bekas ketua penerangan Ustaz Nasruddin Hassan turut mencuba mengintai peluang menduduki kerusi nombor tiga.
Manakala 26 calon menawarkan diri bertanding bagi menduduki 18 kerusi anggota jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi baharu.
Ketika pengundian dijalankan muktamar ditangguh dan akan bersidang jam 8.30 pagi esok.
Biarpun ada rungutan kaedah baru pengundian, namun proses itu
berjalan lancar selepas diberi penjelasan oleh Setiausaha Lembaga
Pemilihan PAS, Wan Rohimi Wan Daud.
Tumpuan perwakilan sekarang hanya terarah kepada siapa yang akan
mengekalkan kerusi naib presiden, memandangkan empat pemimpin yang
dicalon ada kewibawaan tersendiri.
Kesemua mereka wakil rakyat, di mana dua sebagai anggota parlimen dan dua lagi Adun.
Rentak pemilihan mungkin berdasar kepada negeri iaitu Kelantan, Pahang, Selangor dan Perak.
Namun bagi PAS Kubang Kerian tiada perkiraan awal dibuat bagi memilih
sesiapa sahaja untuk menduduki kerusi naib presiden. Yang Dipertuanya,
Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata, beliau dan perwakilan tidak pernah
berbincang mengenai siapa yang mahu dipilih.
“Kita beri kebebasan kepada perwakilan bagi menentukan siapa yang
mereka fikir layak. Ini kerana empat calon yang disenarai ada kelebihan
masing-masing,” katanya di sini.
Tiada senarai chaiTidak
lagi kedengaran ada chai seperti yang cuba digambarkan pihak yang tewas
pada pemilihan dua tahun lepas. Malah penulis pun tidak menjumpai ada
senarai chai seperti yang cuba digambarkan pada 2015.
Tiada pula helaian chai yang boleh ditemui di kerusi perwakilan atau
mana-mana tempat di Dewan Datuk Fadzil Mohd Noor. Apapun yang jelas isu
chai hanya timbul apabila ada pihak yang merasakan cukup hebat, namun
tidak dipilih perwakilan.
Sistem e-voting seperti yang diberitahu Wan Rohimi, perwakilan boleh
menukar pilihan untuk kali kedua sebelum menghantar undi kepada sistem.
Selepas pilihan dibuat di skrin komputer, ia akan dicetak dikertas
sebelum dimasukkan ke dalam tong disediakan.
“Keputusan pemilihan itu hanya akan dibuat pada hari terakhir
muktamar,” katanya pada taklimat sebelum pengundian dijalankan petang
tadi.
Keputusan pemilihan itu tentunya dinanti dengan alunan debar oleh
perwakilan. Ini antara segmen menarik yang dibiarkan ternanti-nanti pada
muktamar di Kota Sarang Semut.
Debaran yang kedua, tentunya berkaitan usul yang digeger di seluruh negara sebelum ini tentang tahaluf siyasi dengan PKR.
Kata Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamad, terdapat
lebih 30 PAS kawasan yang melulus usul tersebut pada mesyuarat yang
diadakan sebelum ini.
Isu tersebut seakan-akan menjadi fokus utama pada muktamar kali ini.
Namun apa yang berlaku pada hari pertama muktamar tadi, isu itu
seolah-olah dibiarkan tenggelam
Tiada disebut pada ucapan dasar Presiden yang bertema Sejahtera
Bersama Islam. Sebanyak 83 paragraf ucapan tersebut, Tuan Guru Abdul
Hadi tidak menyentuh secara langsung mengenai tahalus siyasi dengan PKR.
Pada ucapan terbabit Presiden mengajak perwakilan menyedari dan
memahami realiti halangan dan kelebihan yang ada di hadapan kita
“Malah PAS amat menyedari kepelbagaian rakyat yang ada dalam negara bernama Malaysia ini,” katanya.
Mesej ucapan dasar itu memperlihatkan kepelbagaian rakyat di negara
kita perlu diambil kira dalam merencana perubahan, pembangunan fizikal
dan spiritual
Dan sekiranya kita amati pula penjelasan dibuat Dr Mahfodz ketika
penggulungan muktamar Dewan Ulama Khamis lepas, ia menjelaskan lagi
situasi itu.
Kata beliau, Majlis Syura Ulama sudah membuat kajian berkaitan
tahaluf siyasi dengan PKR selepas usul mengenainya ditimbul pada
muktamar lepas. Dan sekarang hanya keputusan sahaja belum dinukilkan
Kemudian penegasan dapat dibayangkan apabila Ketua Penerangan Dewan
Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali menyebut hanya Majlis
Syura Ulama yang boleh memutuskan berkaitan tahaluf siyasi berdasar
perlembagaan parti.
Mesej-mesej yang dihantar tersebut seakan-akan memberi gambaran,
biarpun usul tahaluf dengan PKR dibincang esok atau lusa, namun kata
pemutus berada di genggaman Majlis Syura. –
HARAKAHDAILY