HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 April 2017

omentar Kes Adam Rosly cemar integriti PKR?

Oleh  Lokman Ramlee
Post Pic
 
 
[ULASAN] Wajarkah PKR mengambil langkah ketara untuk menjarakkan diri daripada kemelut isu kekayaan luar biasa Ketua Angkatan Muda Ampang, Datuk Adam Rosly supaya parti tidak menjadi “sasaran mudah” musuh?
 
Parti itu diajukan dua pilihan – ambil tindakan disiplin terhadap Adam atau mengarahkannya ‘bercuti’ sehingga kes beliau dituduh berbohong dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai. 
 
"Apa pun, saya berharap seluruh kekuatan parti dari akar umbi ke peringkat pimpinan mengambil langkah untuk menjarakkan parti dari kemelut peribadi seperti ini," kata Naib Presiden, Rafizi Ramli.
 
Kata Rafizi lagi, keengganan Adam menuruti nasihatnya supaya melakukan pengisytiharan harta juga telah menyebabkan masalah yang melanda kian melarat.
 
"Sebab itu semasa kekayaan Adam mula-mula menarik perhatian ramai, saya dengan serta-merta menasihatkan beliau supaya mengisytiharkan harta. Ada perbezaan di dalam parti apabila ada yang beranggapan beliau tidak perlu mengisytiharkan harta kerana tidak menjawat sebarang jawatan kerajaan.
 
"Saya telah menyatakan bahawa saya tidak bersetuju dengan pandangan itu kerana piawai moral dan keamanahan yang dipegang PKR mestilah lebih tinggi dari parti-parti lain,” katanya.
 
Menurut Rafizi, seseorang yang memegang jawatan parti tidak boleh dilihat mengumpul kekayaan yang tidak boleh diterangkan kepada rakyat.
 
Jelas Rafizi, jika kekayaan itu dikumpul secara sah dan tanpa melibatkan kepentingan awam, beliau yakin mana-mana pimpinan dalam parti itu boleh mengisytiharkan harta dengan mudah.
 
"Saya masih berpendapat Adam boleh menjernihkan keadaan supaya tidak mengheret PKR ke dalam kemelut peribadi beliau dengan mengisytiharkan harta secepat mungkin.
 
"Keadaannya berbeza sekarang kerana keengganan beliau mengisytiharkan harta telah mengheret nama baik PKR sehingga dijadikan bahan serangan oleh musuh-musuh politik PKR," katanya.
 
Adam, 28, ditahan SPRM 13 April lalu ketika memberi keterangan berhubung dakwaan kekayaan luar biasanya dan dituduh di mahkamah 21 April lalu kerana memberi maklumat bercanggah. 
 
Adalah jelas Rafizi membuat syor berkenaan kerana mahu menghindari PKR terjebak dalam isu pengurusan harta Adam hingga boleh menyebabkan partinya kehilangan banyak markah politik. 
 
"Saya konsisten menegaskan bahawa piawai moral dan keamanahan yang perlu kita buktikan kepada rakyat adalah lebih tinggi dari parti-parti lain kerana PKR dihargai rakyat hasil dari perjuangan berterusan kita menentang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan pentadbiran sedia ada," ujarnya.
 
Sesungguhnya ini ialah persoalan piawaian moral PKR. Bak kata Rafizi seluruh peringkat pimpinan parti harus berkongsi dan mendakap piagam ini. 
 
Malah nilai ini harus disemarakkan dalam aktiviti politik Malaysia dan meliputi piawai moral peribadi. Seharusnya, parti-parti politik Malaysia akur mereka tidak boleh mengasingkan soal nilai moral politik dengan nilai peribadi.
 
Di sini Islam boleh memimpin pemikiran mereka. Yang menjadikan umat Islam khususnya yang paling baik ialah kerana:
 
“Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia., menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar beriman kepada Allah..” (Ali Imran ayat 110).
 
Ini beza politik Islam dan liberal. Jika Rafizi mahu menghindar kehilangan markah politik, maka mungkin PKR dapat menyelamatkan sedikit markah politik dengan iktikad bahawa ia (PKR) mahu mencegah kemungkaran!
 
Justeru jika Rafizi mahu tindakan disiplin diambil ke atas Adam ialah kerana mahu mencegah mungkar, maka keberkatannya pasti akan memperkukuhkan lagi PKR.
 
Begitulah standard moral ahli-ahli politik muslim. Adalah paling tidak wajar jika mereka berselindung seperti dalam kes Dyana Sofea dan Zairil Khir di sebalik alasan rakyat tidak boleh mencampuri ‘soal privasi’ mereka. 
 
Pemimpin seharusnya tidak menggunakan logik peribadi untuk menyatakan perbuatan buruk mereka adalah hak peribadi mereka; lebih-lebih jika mereka penganut Islam. 
 
Jika benar kata Rafizi bahawa PKR sebenarnya amat tegas mengenai perkara-perkara yang bersabit dengan tatakelola dan keamanahan, inilah masanya pimpinan PKR menguruskan isu Adam Rosly secara terbaik.
 
Jangan sokong ahli atau pemimpin yang longgar akal budi dan rendah pula taraf keamanahannya. Selamat berjuang sepenuh moral, PKR.
 
 

Tiada ulasan: