shahbudindotcom
Episod
pemimpin keluar atau meninggalkan Bersatu berterusan lagi, kali ini
Setiausaha Kerja merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Kamarulazman
Habibur Rahman pula mengumumkan keluar parti dalam sidang akhbar di
sebuah hotel lima bintang di ibukota.
Sebelum
ini, sudah beberapa kali episod yang sama menimpa Bersatu di beberapa
negeri tatkala rakyat sedang menggelegak hati dan perasaan ingin menolak
Najib Razak, UMNO dan BN yang menimbulkan banyak masalah, keserabutan
dan beban kepada rakyat serta negara.
Rata-ratanya
yang mengumumkan keluar parti itu hanyalah bersandarkan satu sebab saja
iaitu tidak memperolehi jawatan atau kedudukan yang diidamkan sama ada
di peringkat bahagian, negeri mahupun pusat.
Namun,
untuk melindungi kepentingan diri serta bagi menampakkan mereka
kononnya suci bersih dalam perjuangan, lalu diciptalah alasan kronisme,
pilih kasih, mengamalkan kasta, hilang hala tuju dan sebagainya untuk
menghalalkan tindakan keluar parti itu.
Difahamkan,
selepas ini ada beberapa pemimpin Bersatu lagi akan turut keluar parti.
Ada di peringkat pusat dan ada juga di negeri dan bahagian. Alasannya
sama juga, tidak dapat jawatan atau kedudukan yang dihajati.
Siapa mereka ini?
Rata-rata
yang sudah dan akan keluar Bersatu ini adalah bekas ahli UMNO, namun
mereka bukanlah kelompok yang berjaya atau berwibawa selama bersama
dalam parti itu. Yang terbaru ini hanyalah bekas Ketua UMNO cawangan
saja.
Lalu, apabila menyertai Bersatu, dengan hanya bermodalkan pengalaman memimpin cawangan, jawatan apa yang mereka harapkan?
Ternampak
jelas bahawa mereka menyertai Bersatu dengan harapan mendapat jawatan
yang lebih tinggi, ada peluang bertanding pilihanraya, bergelar YB dan
mungkin berpeluang mengumpul kekayaan atau menyamun di sana sini, sama
seperti perangai kebanyakan pemimpin UMNO yang ada hari ini.
Apabila
tidak mendapat apa yang dihajati, itulah sebabnya mereka keluar parti.
Ceramah dan hujah berdegar-degar mereka selama ini kononnya untuk
sama-sama menyelamatkan negara, menolak Najib yang membawa kerosakan dan
memberi harapan baru kepada rakyat, ternyata hanyalah palsu belaka.
Mereka sebenarnya hanya ingin menyelamatkan perut dan diri sendiri.
Mereka
yang keluar ini langsung tiada ada jati diri untuk benar-benar
menyelamat dan memulihkan negara. Kepentingan peribadi dengan sendirinya
terserlah apabila mereka keluar Bersatu dengan alasan yang mereka cipta
itu.
Mereka
yang keluar Bersatu dengan membuat sidang akhbar besar-besaran, keluar
TV dan sebagainya sambil memburukkan parti yang sedang bersama Pakatan
Harapan untuk mengambil alih tampuk kekuasaan kerajaan dan mengalahkan
UMNO dan BN, bolehlah dianggap golongan parasit dan hamlau yang jika
ditimbang-timbang sebenarnya tidak banyak berguna pun kepada Bersatu,
apalagi dalam perjuangan yang masih panjang untuk menyelamatkan negara.
Biarlah
mereka ini keluar Bersatu sekarang daripada meninggalkan Bersatu
setelah parti itu dan Pakatan Harapan berjaya menggenggam kuasa selepas
pilihanraya nanti. Malah, Bersatu dengan sendirinya menjadi bersih
dengan ketiadaan hamlau-hamlau itu lagi.
Mereka
yang keluar Bersatu ini kerana kecewa tidak memperolehi jawatan, dalam
masa yang sama cuba membalas dendam dengan memberi kelebihan kepada
Najib, UMNO dan BN untuk terus menang dalam pilihanraya akan datang.
Nampaknya kesedihan tidak memperolehi jawatan sudah sanggup
ditukar-ganti dengan kekalnya Najib, UMNO dan BN berkuasa lagi.
Sama ada mereka dibayar atau tidak, itulah sebenarnya niat dan nawaitu mereka. Jenis perjuangan apa mereka ini?
Sebab
itu, yang diburukkan dan diberi gambaran jelik ialah Bersatu tanpa
mereka sedar Najib dan UMNO jauh lebih buruk daripada itu. Selepas ini,
setiap hari mereka akan melalak memburukkan Bersatu dan pemimpinnya
dengan maksud agar Najib, UMNO dan BN terus diberi mandat lagi oleh
pengundi.
Mereka
ini barangkali lupa, tidak ada sesiapa pun mahu mengikut atau
terpengaruh dengan apa mereka lakukan itu. Majoriti rakyat, di sebalik
bagaimana berpecah sekali pun Bersatu atau parti-parti pembangkang lain,
mereka tidak mungkin mahu kembali mengundi BN dan membolehkan UMNO
serta Najib terus berkuasa lagi.
Rakyat
secara umumnya sedar meneruskan Najib berkuasa hanya akan membuatkan
negara ini terus sengsara dan diselubungi mala petaka yang berpanjangan.
PRU 14 adalah peluang terbaik untuk membuat perubahan. Jika Pakatan
Harapan yang diberi peluang untuk berkuasa gagal melaksanakan
tanggungjawabnya dengan sempurna, perubahan boleh dilakukan semula dalam
pilihanraya seterusnya.
Tetapi,
jika BN dikekalkan lagi kuasanya, peluang untuk melakukan perubahan
sudah tiada lagi. Lima tahun akan datang, Tun Mahathir Mohamad, jika pun
masih ada, tentunya tidak berupaya lagi secergas seperti sekarang untuk
meneruskan perjuangan.
Oleh rakyat tidak akan melepaskan peluang melakukan perubahan dalam pilihanraya ke-14 kali ini.
Dengan
majoriti rakyat sudah membuat ketetapan untuk menolak Najib, UMNO dan
BN, keluarnya hamlau-hamlau ini daripada arus yang sedang membawa
perubahan, ia tidak memberi kesan apa pun sebenarnya. Mereka akan hanyut
dengan sendirinya.
PKR
dahulunya juga pernah mengalami episod keluar parti yang sama. Tetapi,
lihatlah keputusan pilihanraya 2008 dan 2013, sokongan rakyat nyata
terus meningkat juga di sebaliknya ramai yang meninggalkannya, sementara
UMNO dan BN yang terus merudum dan merudum ditolak massa.
Dalam
konteks PRU 14, isu paling besar ialah Najib itu sendiri. Kebimbangan
rakyat bukan saja negara akan terus sengsara dan diselaputi duka, bahkan
paling ditakuti ialah lebih banyak penggadaian harta-harta negara, dua
tiga Jho Low atau empat lima model mirip 1MDB akan muncul lagi bagi
menutup semua keburukan sedia ada.
Ketika itu nanti, siapa lagi yang mampu menggugat pemerintah yang ada?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan