HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 April 2017

Pendedahan Rafizi inisiatif peribadi atau parti?

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
 
[ULASAN] Adakah Rafizi Ramli hanya sekadar mahu membuat “gempar politik” sahaja berhubung tuduhannya PAS menerima dana jutaan ringgit daripada syarikat 1MDB melalui bekas Timbalan Presidennya, Datuk Nasharuddin Mat Isa?
 
Atau, adakah ini satu strategi Rafizi untuk mengalih perhatian umum daripada gerakan akar umbi PAS yang semakin lantang mempersoalkan sama ada berbaloi atau tidak menjalin tahaluf siyasi dengan PKR?
 
Gerakan PAS ini nampaknya amat teratur dan mempunyai hujah yang munasabah yang mungkin dikhuatiri boleh mempengaruhi persepsi rakyat terhadap ketulusan politik PKR dan komitmennya terhadap Islam.
 
Adakah serangan pada PAS strategi Rafizi mahu percepatkan putusnya tahaluf? 
 
Adakah langkah politik Rafizi ini sebenarnya mewakili sebahagian pimpinan PKR yang memang mahu memutuskan tahaluf dengan PAS dan tidak mahu ada inisiatif dari dalam parti untuk terus bekerjasama dengan PAS? 
 
Ini kerana setakat ini kepimpinan PKR Selangor nampaknya sudah mula berusaha untuk mengambil sikap lunak terhadap PAS dan mahu meneruskan tahaluf dengannya.
 
PKR Selangor bingkas menyokong pendirian Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menghormati inisiatif terbesar PAS mutakhir ini untuk memperkasa Mahkamah Syariah melalui usul RUU355.
 
Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafiei berkata PKR Selangor mendokong semua usaha positif memartabatkan undang-undang syariah serta institusi Mahkamah Syariah di negara ini.
 
Katanya, PKR Selangor menyokong kenyataan Anwar bahawa adalah wajar hak seseorang Ahli Parlimen membentangkan apa jua cadangan Rang Undang-undang Persendirian mengikut peraturan dewan, dihormati.
 
Mungkinkah Rafizi bimbang pendirian Anwar dalam kes ini adalah percubaan untuk memesrakan semula hubungan PAS-PKR? 
 
Atau, adakah Rafizi khuatir inisiatif Anwar ini juga akan mengukuhkan hubungan Azmin-Anwar?
 
Tidakkah tindakan Rafizi mendedahkan “skandal dana jutaan ringgit PAS” boleh dilihat sebagai strategi “mencemar wibawa keIslaman PAS” demi memperbaharui keyakinan rakan-rakan sekular PKR terhadap parti itu?
 
Setakat ini belum ada reaksi negatif baik daripada DAP mahupun Amanah dan PPBM mengenai sikap Anwar yang mula lunak dalam PAS mahu mengemukakan Rang Undang-undang 355.
 
Rafizi sendirian kali ini menyerang PAS
 
Mungkinkah Rafizi hanya ‘terjun botol’ dan menggalas tengkok untuk ‘menyelamatkan nama baik PKR’ di mata kerabatnya dan cuba menekan supaya sikap lunak Anwar itu tidak menjadi isu aliran pemikiran politik utama PKR?
 
Persoalan ini dibangkitkan kerana Rafizi seolah-olah bertindak “menyerang” PAS bersendirian dan, tidak seperti lazimnya, hujah yang dikemukakan kali ini nyata lemah.
 
Yang pasti pimpinan tertinggi PKR yang lain bungkam dengan pendedahan Rafizi ini. Kebanyakkan mereka cuba menjarakkan diri.
 
Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar berkata, pendedahan Ahli Parlimen Pandan itu bukan mewakili parti dan ia tidak seharusnya memberi impak kepada tahaluf siyasi dengan PAS.
  
"Dia Ahli Parlimen Pandan, dan kalau dia nak dedahkan apa pun, itu ialah hak dia. Sama ada dari Invoke, atau parti, kalau dia nak buat, dia Ahli Parlimen Pandan, dia boleh dedahkan apa maklumat yang dia ada,” ujarnya.
 
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid turut senada dengan dengan pendirian ADUN Sri Andalas itu.
 
"Ini maklumat yang dia terima, jadi bila maklumat yang dia terima itu untuk dipastikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memeriksa akaun SRC (International Sdn Bhd) melalui akuan Perdana Menteri dan diberi kepada Nasharudin Mat Isa untuk dibuat siasatan.
 
"Ini Rafizi yang membongkarkannya," kata beliau, menambah ia bukan pendirian rasmi parti.
 
Tambah Ahli Parlimen Kuala Langat itu, sama ada soal pendedahan tersebut berkait dengan tahaluf siyasi dengan PKR, ia akan dibincangkan di majlis pimpinan pusat kelak.
  
Pimpinan PAS menyifatkan dakwaan Rafizi percubaan membentuk persepsi buruk masyarakat terhadap parti itu dan melambangkan seseorang yang tidak faham konsep dosa dan pahala. 
 
Menurut Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, maklumat yang dikemukakan itu tidak berkredibiliti dan tidak boleh dipercayai. 
 
Beliau mempersoalkan bagaimana sumber yang kabur ini, berdasarkan 'hearsay' (dengar cakap), dijadikan 'fakta' tuduhan Rafizi, sehingga mengaitkan PAS dan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa.
 
"Bekas pegawai tersebut menyebut bahawa beliau "merasakan" pernah melihat sekeping cek dalam fail seorang peguam "seimbas lalu" sahaja yang "dirasakan" mempunyai nama seseorang yang pernah ada kaitan dengan PAS. 
 
"Semuanya hanya bersifat maklumat lisan tanpa sebarang dokumen dan sebarang evidence. Bolehkah sumber maklumat yang kabur dan tidak jelas sebegini dijadikan asas kepada sesuatu pertuduhan?
 
"Seterusnya disebarkan pula ke seantero dunia yang boleh menyebabkan kezaliman terhadap seseorang dengan tuduhan yang tidak selayaknya," soal Khairuddin dalam satu kenyataan.
 
Khairuddin turut mendedahkan bahawa beliau bersama beberapa pemimpin PAS lain ada berjumpa dengan bekas pegawai kanan SPRM untuk mendapatkan maklumat berkenaan siasatan skandal 1MDB.
 
Bagaimanapun menurut Khairuddin, tiada sebarang pendedahan dibuat, mengenai perjumpaan berkenaan kerana tidak memperolehi bukti kukuh sehingga ke hari ini.
 
"Sekiranya bekas pegawai SPRM yang dirujuk beliau (Rafizi) sebagai sumber tuduhan beliau adalah orang sama yang saya dan beberapa pemimpin PAS temui sebelum ini untuk mendapatkan penjelasan berkaitan siasatan isu 1MDB, maka jelas bahawa Rafizi agak bermasalah dalam menilai maklumat yang disampaikan kepada beliau,” kata Khairuddin.
 
Reaksi umum pimpinan PAS ialah pendedahan Rafizi adalah satu fitnah dan mengemukakan mesej Quran bahawa fitnah itu lebih besar dosanya daripada pembunuhan.
 
Tindakan Rafizi ini memang jelas mahu membunuh wibawa PAS. Cuma yang perlu dipastikan ialah, adakah inisiatif Rafizi ini mendapat restu pimpinan PKR yang juga mahu membunuh PAS? 
 
 

Tiada ulasan: