Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersih dan tiada
krisis kepimpinan sehinggalah timbalan presiden parti itu, Datuk Seri
Mukhriz Mahathir membawa masuk rakan-rakannya yang bermasalah dalam
parti.
Itu dakwaan bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarulazman Habibur Rahman
selepas ditanya adakah Mukhriz memaksudkan dirinya sebagai ahli yang
menyogok wang untuk jawatan dalam parti.
"Jika beliau (Mukhriz) tujukan kenyataan itu terhadap saya, beliau
adalah seorang yang paling tidak jujur di dalam perjuangan PPBM.
"Sedangkan Mukhriz merupakan antara orang yang menimbulkan masalah
dengan membawa masuk orang-orangnya, kawan-kawan bermasalah di dalam
parti.
"Mukhriz tidak perlu putar-belit. Mukhriz kena jelas siapakah yang
dimaksudkan. Dan saya mencabar Mukhriz dalam debat terbuka, jika beliau
kata ada bukti, saya pun ada bukti untuk mengatakan antara perkara yang
merosakkan parti adalah rakan-rakannya sendiri," ujarnya ketika
dihubungi Antarapos, hari ini.
Terdahulu, Mukhriz mengesahkan wujud dakwaan ada ahli PPBM yang bermasalah termasuk disogokkan habuan untuk merosakkan parti.
Pun begitu, tiada tindakan akan diambil sementelah golongan itu sudah keluar parti, ujar Mukhriz.
"Memang mudah menuduh seseorang itu disogok dan sebagainya apabila
orang itu keluar parti, sedangkan masalah yang diutarakan tidak mahu
diakui dan diselesaikan.
"Ketika PPBM mula ditubuhkan kita tidak mempunyai masalah dalaman
parti, sehinggalah rakan-rakan pemimpin utama di dalam parti dibawa
masuk, kemudian dengan mudah mengatur kepimpinan bahagian. Ini
menimbulkan rasa tak senang di kalangan orang," ujar Kamarulazman.
Beliau kemudiannya mempersoalkan ke arah manakah Mukhriz mahu membawa perjuangan PPBM?
"Mukhriz kena jelas apakah yang beliau mahukan di dalam PPBM. Jika
beliau benar berhasrat untuk perjuangan di dalam parti, beliau perlu
menjadi rasional, jangan terlibat membawa masuk orang-orangnya,"
Minggu lalu, Kamarulazman mengumumkan peletakan kesemua jawatannya di
dalam parti, sekaligus keluar parti selepas kecewa dengan amalan
kronisme dan pilih kasih di dalam PPBM.
Kamarulazman yang juga seorang daripada pengasas PPBM menyelar sikap
pemimpin PPBM yang bekerja untuk jawatan serta kedudukan, malah melayan
kumpulan yang bekerja keras demi parti dengan'layanan kelas kedua'.
PPBM kini dipalitkan dengan beberapa kontroversi termasuk wujudnya
aktiviti menjual jawatan tertinggi parti di beberapa bahagian, selain
tawatan jawatan dengan syarat tertentu, sebagaimana didedahkan sumber
parti berkenaan.
Malah parti yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad itu juga didakwa
mempunyai kepimpinan yang tidak bersih, seperti pemimpin yang muflis dan
yang mempunyai rekod polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan