ANTARAPOS.COM
SHAH ALAM: Apa masalah dengan DAP?, itu soalan bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar kepada pemimpin parti itu.
Ujarnya, pemimpin PAS terus-terusan menuding jari kepada DAP kerana
bercanggah ideologi dan pemikiran bersabit agenda Islam yang diperjuang
selama ini.
"Apa masalah dengan DAP? Kita sering ulang-ulang sebelum ini, kalau DAP
tentang Islam, biasalah mereka itu bukan Islam. Yang masalahnya kita
berdepan dengan Umno Barisan Nasional (BN).
"Saya kata bahawa, dalam konteks hubungan dengan bukan Islam ini, apa
salahnya kita cari satu jalan pendekatan yang boleh membawa mereka itu
melihat kebaikan, kebenaran dan keadilan agama Allah ini," ujarnya
dalam satu ceramah yang dimuatnaik portal Malaysia Kini, hari ini.
Mahfuz kemudiannya berkata beliau sejak dari awal tidak bersetuju untuk PAS memutuskan hubungan dengan DAP.
Katanya, implikasi daripada memutuskan hubungan dengan DAP itu amat
besar hingga menggoyahkan gagasan pembangkang yang selama ini bersatu
menentang Umno-BN.
Ini bukan kali pertama Mahfuz mengkritik partinya secara langsung,
malah ada beberapa pemimpin PAS meminta bekas naib presiden itu
meninggalkan parti.
Pun begitu, Mahfuz enggan dan bertegas akan tetap berada dalam PAS untuk 'menegur' partinya itu.
"Kita tak boleh nak paksa dalam beberapa perkara yang mereka (DAP) tak
boleh nak ikut. Apa masalahnya kita nak putuskan hubungan kalau ada
perbezaan?
"Dalam konteks kalangan kita orang Islam sekalipun ada perbezaan, sudah
tentulah dalam konteks hubungan antara agama Islam dengan bukan Islam,
pun ada perbezaan. Sebab itu saya tidak bersetuju untuk memutuskan
hubungan dengan DAP," ujarnya lagi.
DAP dan PAS bertindak memutuskan hubungan sesama mereka selepas
bercanggah pendapat mengenai cadangan pelaksanaan hudud di Kelantan.
Keputusan itu membawa kepada terkuburkan Pakatan Rakyat yang dibina sejak memenangi Pilihan Raya Umum 2008, yang lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan