HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 April 2017

Kajian dapati 16 peratus pelajar IPT sedia terima rasuah

Bernama

Kajian tersebut juga mendapati 18.2 peratus pelajar yang ditemui bersedia memberi rasuah agar mereka tidak dikenakan tindakan iaitu peningkatan sebanyak 0.8 peratus daripada 17.4 peratus pada tahun 2015

ARAU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bimbang dengan sikap golongan terpelajar terhadap rasuah apabila hasil kajian persepsi mendapati kira-kira 16 peratus pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sanggup menerima rasuah jika mempunyai peluang dan kuasa, kata Timbalan Ketua Pesuruhjayanya Shamsun Bahrin Mohd Jamil.

Beliau berkata angka itu diperoleh hasil Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Rasuah (KPKT) oleh SPRM di kalangan 1,000 mahasiswa di seluruh negara tahun lepas.

“Angka ini membimbangkan kerana kajian tahun 2015 menunjukkan 10.7 peratus dan tahun sebelumnya (2014) 11.3 peratus sahaja pelajar yang menyatakan kesanggupan menerima rasuah,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) peringkat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di kampus universiti itu di sini, hari ini.

Seramai 15 dekan dan ketua jabatan UniMAP menandatangani dan melafazkan IBR diketuai Naib Canselornya, Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal yang turut disaksikan pengarah SPRM Perlis, Yaacob Angah.

Kajian tersebut juga mendapati 18.2 peratus pelajar yang ditemui bersedia memberi rasuah agar mereka tidak dikenakan tindakan iaitu peningkatan sebanyak 0.8 peratus daripada 17.4 peratus pada tahun 2015, kata Shamsun Bahrin.

Beliau berkata kajian juga mendapati jumlah pelajar yang sanggup melaporkan kes rasuah merosot kepada 66.3 peratus berbanding 74.1 peratus pada 2015 dan 74.9 peratus pada 2014.

“Saya ingin mengingatkan, tak usah takut memberi maklumat kerana identiti pemberi maklumat dilindungi di bawah undang-undang Akta Pemberi Maklumat dan Akta Perlindungan Saksi,” kata Shamsun Bahrin.

Katanya data SPRM daripada 2011 hingga sekarang menunjukkan hanya 162 individu berani tampil memberi maklumat berkaitan kes rasuah kepada agensi itu.

Menurut Shamsun Bahrin, SPRM melancarkan Kempen Wira Anti-Rasuah (WAR) dan menubuhkan Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR) di IPT, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institusi Pendidikan Mara (IPMa) bagi mewujudkan budaya benci rasuah dalam kalangan golongan berkenaan.

Sementara itu, Zul Azhar berkata UniMAP berbangga kerana menjadi Universiti Awam (UA) kedua selepas Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) menandatangani dan lafaz IBR.

Katanya UniMAP juga menyerahkan kertas cadangan bagi menubuhkan Badan Beruniform Berkredit ‘Troop Siswa SPRM UniMAP’ kepada Shamsun Bahrin yang mewakili SPRM.

Troop Siswa SPRM UniMAP bertujuan menerapkan budaya integriti dan benci rasuah dalam kalangan generasi muda di samping saluran untuk menempatkan pelajar UniMAP mengikuti latihan industri dengan SPRM di seluruh negara, kata Zul Azhar.-Bernama

Tiada ulasan: