HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 April 2017

Sepatutnya PAS yang sibuk, tapi ada yang lebih 'sibuk' - Takiyuddin Hassan

Oleh Ainor Rahim & Shuhaniza Said
Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Ada pihak yang terdesak untuk menjatuhkan PAS, itu respon setiausaha agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan bersabit penyebaran risalah bertajuk 'Zuhud PAS???'.
 
Risalah bersaiz A4 menampilkan gambar kenderaan milik dua pemimpin PAS berstatus ulama, sebelum dan selepas menjadi ahli Parlimen.
 
Dua ulama itu adalah Ketua Penerangan PAS, Nasruddin Hassan dan Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Khairuddin Aman Razali.
 
Risalah itu juga memaparkan perbualan tidak senonoh antara seorang janda muda dengan AJK PAS Pusat, Mokhtar Senik.
 
"Pada asasnya, kita kenal (dalang). Kita tahu siapa kawan, berbanding lawan kita kan? Jadi bagi kita (PAS), itu adalah satu tindakan terdesak pihak berkenaan mahu ganggu perjalanan (muktamar) kita. 
 
"Sepatutnya bila kita buat muktamar kita lah yang sibuk tapi nampaknya mereka pun sibuk juga. Pasang poster juga. Jadi itu langkah terdesak bagi kita," katanya ketika membuat tinjauan di bilik media Muktamar PAS Pusat, sebentar tadi.
 
Takiyuddin juga mengulas insiden 'patung monyet berserban' yang dijumpai tergantung di sebatang pokok, menyerupai karikatur kontroversi terbitan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau, baru-baru ini.
 
Karikatur itu membayangkan 'monyet berserban' itu sebagai Persiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mengusulkan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian, untuk memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
 
Akhbar itu bagaimanapun memohon maaf kepada Hadi dan PAS.  
 
"Saya nampak ahli kita tenang tidak menjadi emosi. Sebaliknya kita terima itu adalah satu serangan psikologi dari pihak-pihak yang cuba nak menimbulkan suasana tidak senang pada kita. 
 
"Mungkin juga untuk mempengaruhi pemilihan. Mungkin juga dari pihak tertentu," tambahnya. 
 
Pemilihan PAS kali ini dilihat berjalan lancar lebih-lebih lagi kesemua jawatan panas dalam PAS sudah diketahui selepas menang tanpa bertanding.
 
Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing mengekalkan jawatan presiden dan timbalan presiden.
 
Sementara Muhammad Khalil Abdul Hadi menang jawatan Ketua Pemuda juga tanpa bertanding selepas penyandangnya Nik Abduh Nik Aziz enggan mempertahankan kerusi tersebut. 


Tiada ulasan: