HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 April 2017

Mahkamah batal saman Mahathir terhadap Najib

ANTARAPOS.COM
Post Pic


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berjaya membatalkan saman dikemukakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan dua yang lain berhubung dakwaan Perdana Menteri melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam dan pentadbiran membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Abu Bakar Jais membenarkan permohonan Najib selaku defendan untuk membatalkan saman dikemukakan Dr Mahathir; bekas Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan; dan bekas ahli Wanita Umno Langkawi, Anina Saadudin, selepas mendapati tuntutan saman berkenaan tidak boleh dipertahankan.

Peguam mewakili Najib, Datuk Mohd Hafarizam Harun, ketika ditemui, berkata Abu Bakar yang membuat keputusan itu dalam kamar hakim turut memutuskan bahawa saman berkenaan tidak mempunyai sebarang kuasa tindakan, remeh dan menyusahkan.

Mohd Hafarizam berkata, mahkamah bersetuju dengan alasan pihaknya bahawa adalah salah bagi plaintif dalam pernyataan tuntutan mereka untuk mendakwa Najib selaku penjawat awam, dan melakukan perbuatan salah laku itu.

Katanya, ia adalah kerana mahkamah mendapati Perdana Menteri bukan penjawat awam mengikut takrifan Perlembagaan Persekutuan, sebaliknya ahli pentadbiran.

"Oleh kerana mahkamah benarkan permohonan kami untuk batalkan saman itu kerana Perdana Menteri bukan penjawat awam, maka mahkamah tidak perlu lagi meneliti elemen kedua dalam saman itu, iaitu berhubung dakwaan Najib melanggar tugas fidusiari," katanya.

Mohd Hafarizam berkata, mahkamah kemudian memerintahkan ketiga-tiga plaintif membayar kos kepada defendan sebanyak RM30,000.

Melalui pernyataan tuntutan difailkan 23 Mac tahun lalu, plaintif mendakwa Najib sengaja mengganggu siasatan dakwaan mengenai 1MDB dan syarikat berkaitan, serta siasatan aliran masuk wang RM2.6 bilion dan RM42 juta daripada SRC International ke dalam akaun peribadinya.

Mereka mendakwa Najib melakukan tindakan dan langkah tindasan sehingga menyebabkan beliau dapat mengelak daripada berdepan kesan dan akibat di sisi undang-undang atas segala dakwaan salah laku atau perbuatan jenayah

Tiada ulasan: