shahbudindotcom
Jika
diperhatikan daripada awal, 1MDB adalah syarikat milik kerajaan yang
paling banyak melahirkan pengautaan, caca-marba dan berbeza-beza dalam
kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak yang
bertanggungjawab terhadapnya.
Syarikat bermodal RM2 pun tidak seperti itu dalam pengendaliannya.
Dalam
kes melibatkan bon bernilai AS$3.5 bilion dan pertikaian berhubung
bayaran yang tidak diterima daripada 1MDB sehingga IPIC memohon
pengadilan ke Tribunal Timbangtara Antarabangsa saja, sudah cukup untuk
membuktikan wujud caca-marba dan ketidak-tentuannya.
Pada
25 Mei 2016, Najib Razak berkata, kerajaan tidak terikat dari segi
undang-undang untuk mengambil balik bon-bon 1MDB bernilai AS$3.5 bilion
itu.
Ini memandangkan tiada jaminan atau surat sokongan kerajaan ke atas bon-bon tersebut, jawabnya di Parlimen.
Tetapi, apa sudah jadi sekarang, mengapa kerajaan mengambil balik bon-bon itu beserta faedahnya sekali?
Jika
tiada apa-apa ikatan dan berpegang kepada hakikat bahawa bayaran yang
dibuat sebelum itu adalah sah, untuk apa ia diambil balik serta
bersetuju memikul tanggungjawab sambil membuat bayaran berganda?
Pada
2 Ogos 2016, Kementerian Kewangan melahirkan perasaan amat yakin bahawa
1MDB akan memenangi kes timbangtara yang difailkan oleh IPIC kepada
syarikat pelaburan kerajaan itu berhubung pertikaian pembayaran hutang.
Berdasarkan semua dokumen yang diberikan oleh 1MDB kepada saya, saya amat yakin dengan kemenangan 1MDB.
Sebab
itu, kita mengambil keputusan untuk tidak membayar faedah
berkenaan...kita akan lawan dan menang kes itu, kata Menteri Kewangan
Kedua, Johari Abdul Ghani.
Rasanya,
tak perlu disebut panjang-panjang lagi apa terjadi akhirnya dan apa
bentuk penyelesaian yang dmaklumkan IPIC kepada Bursa Saham London,
semalam.
Bak kata pelawak Nabil...lu fikir sendirilah.
Pada 31 Oktober 2016, kerajaan juga mengatakan hutang 1MDB tiada kaitan dengan kerajaan.
Namun,
seperti yang disebut sendiri oleh Johari, penyelesaian hutang dengan
IPIC ini dilakukan oleh sepenuhnya 1MDB dan pegawai-pegawai daripada
Pejabat Perdana Menteri.
Untuk
ada pegawai daripada pejabat Perdana Menteri terlibat dan siapakah
mereka yang terlibat itu jika hutang-hutang 1MDB tidak melibatkan
kerajaan?
Diselak
lebih mendalam lagi, kita juga akan mendapati Najib sendiri pernah
mengatakan bahawa Jho Low tidak terlibat serta tiada kaitan sama sekali
dengan 1MDB.
Hakikatnya,
bukan saja berdasarkan sebutan di mahkamah Singapura dan saman oleh
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, nama Jho Low terlihat amat aktif dan
tidak boleh dipisahkan sama sekali daripada 1MDB.
Bak kata Khairy Jamaluddin, cap jari Jho Low ada di mana-mana saja berkaitan 1MDB.
Lebih dari itu, Najib dan keluarganya juga pernah bercuti di atas kapal layar mewah bersama Jho Low dan beberapa yang lain.
Berkaitan
dana 1MDB yang ditebus daripada akaun pesisir di Pulau Cayman untuk
mengatasi masalah aliran tunainya, Najib dalam jawapan bertulisnya di
Parlimen pada Mei 2015, bukan saja mengesahkan kembalinya wang itu,
malah mengatakan ia kini disimpan dalam bentuk tunai di bank Singapura.
Beberapa hari kemudian, pembetulan segera dilakukan dengan mengatakan ia sebenarnya disimpan dalam bentuk aset.
Husni
Hanadzlah, Menteri Kewangan Kedua yang ketika itu diberi peranan
sebagai jurucakap 1MDB tidak berapa lama selepas itu mengatakan, ia
sebenarnya adalah dalam bentuk unit.
Unit
apa? Ia tetap misteri sehingga sekarang, tetapi apa yang berlaku Husni
sendiri akhirnya meletakkan jawatan serta menyoal sendiri kerajaan di
Parlimen berkaitan 1MDB yang memberi gambaran beliau tidak tahu langsung
mengenai perjalanan syarikat itu.
Lebih
dari itu, berkaitan dana yang mengalir masuk ke akaun peribadi
Malaysian Official 1 sepertimana yang disahkan oleh Jabatan Kehakiman
Amerika Syarikat adalah berasal daripada dana 1MDB yang dilencongkan,
jawapan Najib sendiri mengenainya amat berbelit-belit.
Mula-mula
beliau menafikan, kemudian mahu menyaman WSJ yang didakwa
memifitnahnya, selepas itu menepis lagi dengan mengatakan "kalau saya
nak menyamun, takkan saya masukkan dalam akaun peribadi", tetapi
akhirnya dengan selamba mengaku memang ada wang berbilion ringgit dalam
akaun banknya dengan menyatakan ia sebagai derma daripada kerabat
Diraja Arab Saudi.
Selain
pihak di Arab Saudi sendiri tidak jelas dan berbeza kenyataan mengenai
wang tersebut, kiranya benar Najib menerima wang tersebut sebagai derma,
mengapa ketika kunjungan Raja Salman ke Malaysia baru-baru ini, beliau
tidak berani menyebut secara terbuka dalam ucapannya sambil mengucapkan
terima kasih di hadapan Raja Arab Saudi itu atas derma yang diterimanya?
Bukankah,
sebagai adat Melayu dan menghargai sesuatu pemberian, apatah lagi
jumlahnya berbilion-bilion, seseorang itu akan bangga untuk mengucapkan
penghargaan secara terbuka?
Itulah
hakikatnya berkaitan 1MDB, tidak ada syarikat lain yang begitu banyak
auta dan caca-marba sepertinya. Selepas ini, pasti ada lagi auta,
caca-marba dan berbeza-beza dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Hanya jika kalah pilihanraya dan hilang kuasa, barulah semuanya akan terhenti dan kebenaran akan mengambil tempatnya pula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan