HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 April 2017

Maksud syura yang disalahertikan

ZAHARUDIN MUHAMMAD
 
 
SEMALAM ada pertemuan AJK Kawasan, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Subang. Persoalan yang sama diajukan kebelakangan ini di tempat-tempat lain iaitu berkenaan dengan maksud dan makna Syura.
 
Hari ini biasa kita dengar Syura vs Demokrasi sedangkan dari segi syariat dan perlembagaan PAS, ianya jauh daripada kebenaran. Dengan kata lain, Syura diertikan veto dan demokrasi diertikan pemilihan. Maksud syura seperti ini adalah tidak bertepatan dengan Syura yang dimaksudkan di dalam kitab fekah sebaliknya ia lebih mirip kepada maksud istibdad dan Al-Qahru (veto) yang disenaraikan sebagai berlawanan dengan maksud Syura menurut fekah Islam. Silap faham ini jika berterusan tanpa pembetulan boleh membawa kepada PAS menjadi sebuah parti yang autokrasi.
 
Syura dari segi maksud dalam bahasa arab dengan istilah Fekah dan pelaksanaannya tidak jauh berbeza. Syura dari segi bahasa dengan maksud mesyuarat dan berbincang. Dari segi istilah ia bermaksud pelantikan pemimpin yang terdiri daripada dua komponen, iaitu ijab (pencalonan nama) dan qabul iaitu penerimaan oleh wakil masyarakat yang dikenali sebagai baiah.
 
Kedua-dua komponen ini wujud di dalam perlantikan 4 Khulafa' Ar-Raasyidun, bermula daripada pencalonan dan diakhiri dengan qabul (baiah). Teknikal pencalonan 4 Khulafa' Ar-Raasyidun berbeza-beza, di mana pencalonan Saidina Abu Bakar secara mesyuarat, pencalonan Saidina Umar secara "putera mahkota" dan pencalonan Saidina Othman melalui penamaan yang disenaraikan oleh Saidina Umar. Kesemua ijab ini diakhiri dengan baiah, persetujuan wakil-wakil masyarakat pada masa itu; Auz, Khazraj, Quraish dan lain-lain. Wakil masyarakat ini akhirnya dikenali sebagai Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi. Baiah ini mewujudkan mesyuarat dan perbincangan justeru setiap qabilah menghantar wakil dan ia disempurnakan dengan perbincangan dan mesyuarat.
 
Kesilapan faham yang besar pada hari ini apabila melihat cara pelantikan khalifah hanya fokus kepada ijab dengan melupakan baiah. Biasanya mereka menggunakan model Saidina Abu Bakar melantik Saidina Umar justeru Saidina Abu Bakar menamakan Saidina Umar sebagai Khalifah selepasnya dan mereka menyimpulkan bahawa Saidina Umar terlantik secara sah dengan sebab itu. Padahal sebenarnya itu hanyalah peringkat murassyah (pencalonan) tetapi pelantikan Saidina Umar secara rasmi dan sah berlaku hanya apabila berlakunya baiah di kalangan Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi.
 
Dua komponen ini, iaitu pencalonan dan baiah dikenali sebagai sistem syura. Di dalam fekah Islam, disenaraikan cara pemlilihan pemimpin iaitu perlantikan dengan nas, putera mahkota dan pemberontakan. Dr Wahbah Zuhaili menyebut: "Cara Islam yang betul hanyalah dengan satu cara sahaja, iaitu pelantikan yang dibuat berasaskan baiah Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi yang mengandungi elemen persetujuan orang ramai untuk menentukan seseorang pemimpin. Ini berasaskan kaedah Syura dan pemikiran bahawa perlantikan pemimpin ini adalah fardhu kifayah." (Fiqh Islam: Jilid 6 m/s 673)
 
"Telah berlaku ijmak umat Islam selain daripada Syiah bahawa penentuan Khalifah (pemimpin) disempurnakan (secara rasminya) dengan baiah, iaitu pemilihan dan persetujuan umat dan individu yang dipilih sebagai pemimpin. Ini adalah akad yang sebenar daripada keseluruhan (konsep) akad (dalam Islam) yang disempurnakan dengan persetujuan yang berasaskan keredaan kedua-dua belah pihak". (Fiqh Islam: Jilid 6 m/s 685
 
Cara baiah Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi di zaman dianggap sebagai pelantikan orang ramai justeru keanggotaan Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi adalah mewakili masyarakat ramai atau qabilah-qabilah seperti Auz, Khazraj, Quraish dan lain-lain.
 
Kesemua Khulafa Ar-Raasyidun dan era khalifah selepas era itu melakukan sistem baiah atau syura ini dengan teknikal yang berbeza tetapi prinsipnya sama. Prinsip yang menjadi elemen penting di dalam pemilihan pemimpin ialah individu yang melengkapi syarat-syarat yang digariskan oleh nas seperti mencari orang yang paling alim dan berilmu di kalangan masyarakat. Bagi menepati ciri syariat ini, maka mereka mencarinya melalui perbincangan sewaktu pelantikan Saidina Abu Bakar. Tetapi era Saidina Abu Bakar pula melihat Saidina Umar orang yang melengkapi ciri tersebut lalu beliau terus menamakan Saidina Umar sebagai calon. Di zaman Saidina Umar pula, ia membiarkan sebilangan sahabat untuk berbincang untuk mencari mereka yang melengkapi ciri syariat tersebut di kalangan mereka. Jadi, prinsipnya sama iaitu mencari orang yang menepati ciri syariat, tetapi teknikalnya pencarian adalah berbeza. Kesemua perbezaan teknikal pemilihan calon ini diakhiri dengan prinsip pemilihan yang satu, iaitu diakhiri dengan baiah di kalangan Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi.
 
Di zaman era Othmaniah, Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi ini dipilih daripada seluruh empayar Islam yang luas. Jika dilihat sepintas lalu, maka teknikal pelantikan anggota Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi ini agak mirip dengan demokrasi tetapi berbeza dari segi prinsip-prinsip asas yang bagi saya agak panjang perbahasannya jika dimuatkan dalam artikel pendek ini.
 
Dalam konteks pemilihan PAS hari ini sudah menepati kaedah Syura (baiah), di mana pencalonan daripada kawasan yang berakhir dengan pengundian di dalam muktamar sudah merangkumi elemen ijab dan qabul menurut fekah Islam di mana pengundian daripada perwakilan seluruh kawasan di Malaysia sudah melengkapi ciri-ciri baiah Ahlu Al-Hilli Wa Al-Iqdi. Cuma yang perlu diperkasakan ialah semua perwakilan yang layak mengundi perlu memahami lebih mendalam ciri-ciri dan kelayakan-kelayakan calon yang mereka wajib pilih menurut syariat. Perkara ini boleh dimajukan dan diperkasakan dari masa ke semasa.
 
Dari sudut lain, jika pemilihan pemimpin dengan keputusan mesyuarat tertinggi kemudian keputusan itu dipaksa untuk kawasan menerimanya, atau tanpa mendapat persetujuan kawasan, maka ini bukan maksud Syura menurut fiqh Islam, bahkan ianya mirip kepada istibdad (al-qahr) dan kaedah pelantikan dengan nas yang diamalkan di dalam mazhab Syiah.
 
Adapun cara yagn diamalkan oleh Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) yang boleh dicontohi ialah dengan cadangan daripada mesyuarat DUPP untuk Urusan Ulamak Kawasan (UUK) menerima calon sedia ada dan ditiadakan pertandingan. Keputusan ini dihormati dan diterima oleh seluruh UUK menyebabkan mereka tidak membuat pencalonan baru. Inilah fakta yang berlaku dalam DUPP sehingga tiada pertandingan sejak sekian lama. Kaedah ini menepati kaedah Syura kerana persetujuan cadangan calon daripada DUPP oleh UUK boleh dianggap sebagai baiah yang sah yang melengkapi 2 komponen Syura menurut Fekah Islam. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: