HALAMAN SANTAI

Jumaat, 28 April 2017

MPT batal lesen jika peniaga guna polisterin

Bernama

Arahan berkaitan larangan itu telah dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang kepada peniaga di bawah kawasan pentadbirannya

TAIPING: Majlis Perbandaran Taiping (MPT) akan membatalkan lesen perniagaan dan mengenakan kompaun RM250 kepada peniaga di bandar itu yang masih berdegil menggunakan bekas makanan serta minuman polisterin.

Yang Dipertua MPT, Abdul Rahim Md Arif berkata arahan berkaitan larangan itu telah dimaklumkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang kepada peniaga di bawah kawasan pentadbirannya.

“Kerajaan negeri telah meuar-uarkan larangan penggunaan polisterin sejak tahun lalu dan ia telah dipraktikkan dalam majlis-majlis keramaian anjuran MPT,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mempengerusikan mesyuarat penuh MPT bulan April di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata MPT menawarkan potongan kompaun sebanyak 50 peratus selama sebulan mulai 1 Mei depan bagi kesalahan lalu lintas di bandar itu.

Katanya orang ramai boleh mendapatkan tawaran kompaun di kaunter hasil MPT di Wisma MPT dari 8 pagi hingga 3.45 petang pada waktu pejabat.

Sementara itu Abdul Rahim berkata MPT telah dan sedang melaksanakan lukisan mural di beberapa kawasan di Taiping dalam usaha mempromosikan bandar tersebut kepada pelancong.

“Projek ini melibatkan 13 mural yang dilaksanakan dalam tiga fasa membabitkan kos keseluruhan RM27,300,” katanya.-Bernama

Tiada ulasan: