HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 April 2017

Khalid: Terpulang pada PAS untuk letak jawatan di S'ngor


Terpulang kepada PAS sama ada mahu kekal atau tidak sebagai anggota pentadbiran dalam kerajaan negeri Selangor, kata bekas menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Itu terpulang kepada PAS. Pentadbiran kena bezakan dengan politik," kata Khalid kepada pemberita di luar acara muktamar PAS di Alor Setar, Kedah hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan agar empat exco PAS di Selangor meletakkan jawatan berikutan usul dari PAS memutuskan hubungan dengan PKR, yang memimpin kerajaan negeri.

Khalid berkata exco PAS dipilih sebagai wakil rakyat dengan janji untuk berkhidmat kepada rakyat, yang mesti dipenuhi mereka.

ADUN bebas dari Pelabuhan Klang itu bagaimanapun berkata, situasi yang boleh mengganggu kerajaan negeri mesti dielakkan.

"Tapi Selangor dah ada pentadbiran yang kuat sejak sekian lama, jadi ia tidak terlalu susah untuk mentadbirnya," katanya.

Khalid pada 2014, memecat semua exco, kecuali dari PAS, berikutan perebutan politik yang menyebabkan beliau dipecat daripada PKR.

Khalid mentadbir negeri itu sehingga meletakkan jawatan pada Ogos tahun itu dan digantikan dengan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali.

PAS berkata PKR tidak akan mentadbir Selangor tanpa sokongan parti itu yang telah memenangi 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-13, manakala PKR hanya menang 13 kerusi.

Sementara itu Naib Presiden PKR, Dr Shaharuddin Badaruddin yang turut hadir di muktamar hari ini sebagai tetamu kehormat berkata, kerjasama dengan PAS masih boleh berlaku walaupun kedua-duanya memutuskan hubungan.

"Dalam politk can be anything (boleh jadi apa saja). Kalau tak ada tahaluf pun, ia boleh dalam bentuk understanding (persefahaman), electoral pact (kerjasama pilihan raya)," kata Shaharuddin.

Bagaimanapun, beliau berkata adalah lebih baik jika tahaluf siyasi itu masih dikekalkan.

Bagaimanapun Biro Politik PKR masih belum membincangkan perkara itu, katanya.

Majlis Syura PAS akan membuat keputusan sama ada hubungan PKR akan dikekalkan atau sebaliknya

Tiada ulasan: