HALAMAN SANTAI

Sabtu, 29 April 2017

Khalid Ibrahim nasihatkan PAS-PKR utamakan rakyat Selangor

Oleh Shuhaniza Said & Ainor Rahim
Post Pic
 
 
ALOR SETAR: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menggesa PAS dan PKR mengutamakan rakyat sungguhpun wujud desakan agar exco parti Islam itu meletakkan jawatan daripada kerajaan negeri ekoran 'ketegangan' hubungan kedua-dua parti itu.
 
Khalid, yang juga bekas ahli PKR berkata, hal ehwal pentadbiran negeri dengan hal ehwal parti mesti dibezakan kerana masing-masing mendapat mandat rakyat ketika pilihan raya lalu.
 
"Itu terpulang kepada pihak PAS tapi saya rasa pentadbiran mesti dibezakan dengan politik. Pentadbiran mesti telus, bertanggungjawab sebab PAS juga masuk pilihan raya dan berjanji untuk mewakili rakyat Selangor. 
 
"Jadi dia mesti bertanggungjawab kepada rakyat Selangor.. serupa juga parti-parti yang lain.. saya juga menang saya juga bertanggungjawab kepada rakyat Selangor," kata ADUN Pelabuhan Klang itu ketika ditemui pemberita sewaktu menghadiri Muktamar PAS Pusat Kali Ke-63, di sini, sebentar tadi.
 
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail semalam yang menggesa exco PAS dalam kerajaan Selangor meletak jawatan sekiranya muktamar parti itu membuat keputusan menamatkan hubungan dengan PKR.
 
Saifuddin dalam kenyataannya mendakwa, tidak masuk akal sekiranya PAS yang sudah memutuskan hubungan dengan DAP dan Amanah, masih mahu kekal dalam kerajaan Selangor setelah putus dengan PKR.
 
Kenyataan Saifuddin itu ekoran keputusan Muktamar Dewan Ulama PAS dan Dewan Pemuda PAS yang meluluskan usul putus hubungan dengan PKR tanpa bahas, kelmarin dan semalam.
 
Bagaimanapun usul tersebut akan diangkat ke Jawatankuasa PAS Pusat dan Majlis Syura Ulama untuk dimuktamadkan. 
 
Keputusan itu, jika diluluskan, akan menyebabkan berlakunya pertembungan kerusi dengan PKR yang menganggotai PH bersama DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). 
 
Dalam perkembangan berlainan, Khalid menafikan bakal menyertai PAS dan bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya akan datang.
 
"Saya sudah beri beberapa kenyataan yang saya tidak lagi ingin menyertai parti politik selepas pilihan raya. 
 
"Saya menunggu dengan penuh gembira bila pilihan raya diisytiharkan," katanya lagi.
 


Tiada ulasan: