HALAMAN SANTAI

Selasa, 25 April 2017

PAS tenang, Pakatan Harapan porak peranda



Oleh IZWAN ABDUL HALIM





SEKIRANYA disandarkan PAS itu kepada satu rupa bentuk, sudah tentu ia kini dilihat dalam keadaan paling buruk, busuk, rosak, remuk, cedera dan seumpamanya. Terlalu banyak tuduhan dan serangan dilemparkan hingga mustahil lagi ia nampak sempurna atau selesa.

Namun, amati dengan jujur dan akuilah, bahawa ketika ini PAS adalah parti paling tenang di sebalik ganasnya kemelut dan porak poranda politik yang berlaku kepada parti-parti lain. Pada program terbuka mahupun dalaman yang diadakan termasuk Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) atau Muktamar, kehadiran ahli-ahli PAS jauh lebih berkomitmen.

Malah dibuktikan dengan penyertaan keahlian baru tidak kurang 5,000 orang setiap bulan. Ia sekali gus berhak dinyatakan sebagai sokongan, keyakinan, keutuhan dan kekuatan yang semakin menyemai dalam kalangan rakyat Malaysia. Juga bukti bahawa jentera PAS sedang melangkah lebih tersusun dan laju daripada sebelumnya.

Anehnya, semua itu berlaku di sebalik segala pancaroba yang sengaja dihadapkan musuh dan pesaing politik PAS. Bahkan PAS turut dilihat banyak mendiam diri, tanpa gelisah membela atau melatah bertindak balas. Memang ia pelik untuk difikirkan apabila PAS seakan-akan naif membiar diri diperlakukan secara zalim dan kejam.

Tetapi lebih menghairankan apabila tikaman dan tembakan yang ghairah disasarkan kepada PAS, bukan sahaja tidak menembus, hatta tidak terguris calar sekalipun, sebaliknya mereka pula terpantul oleh pisau dan peluru sendiri serta mengalami luka lebih parah.

Tanda-tanda Sakit

Terdahulu sebelumnya, ramai yang menunjukkan simptom sakit jiwa dan otak apabila perlekehan mereka terhadap PAS tidak menjadi kenyataan, terutama daripada kalangan bekas pimpinan PAS dikenali G18. Mereka menyangka, dengan keluar beramai-ramai dan membentuk parti baharu PAN akan menyebabkan PAS lumpuh dan merudum.

Paling memperlihatkan sakitnya adalah Timbalan Presiden PAN, Salahuddin Ayub. Antara detik paling ketara melihat tidak tentu arah beliau adalah pra dan pasca Himpunan Menyokong RUU355 (H355) pada 18 Februari di Kuala Lumpur yang menyaksikan penyertaan teramai dalam sejarah.

Ikuti sedikit kronologinya:

16 Januari
Beliau menyatakan bahawa ketidakhadiran PAS pada majlis pelancaran parti Bersatu adalah bukti PAS bersama BN

19 Januari
PAS katanya tiada tempat dalam Kerajaan Selangor apabila Pakatan Harapan (PH) memerintah selepas PRU14

23 Januari
Beliau akan mengadakan kempen besar-besaran supaya rakyat menolak PAS kerana Gagasan Sejahtera antara PAS dan Ikatan tidak boleh dipercayai

21 Februari
PAS dakwa beliau akan berpecah lagi setelah sebahagian ahli PAS juga telah menyertai PAN

23 Februari
Beliau mendakwa mampu menarik ahli lebih ramai untuk berhimpun berbanding H355

Banyak lagi kronologi boleh dikemukakan yang menjelaskan besar sekali kontradik dizahirkan Salahuddin. Tetapi paling nyata ia menunjukkan porak peranda di kem PH yang cuba diselindungi mereka.

Meludah Ke Langit

Mereka sangat khuatir dengan ketegasan PAS untuk tidak menyertai koalisi itu, ditambah kesediaan PAS bertanding di kebanyakan kerusi pada PRU14 nanti. Itulah yang mencemas dan menggugat kedudukan mereka ketika ini di mana paling tidak berkubu di Pulau Pinang dan Selangor.

Paling merasa terancam adalah Presiden PAN, Mohamad Sabu dan Salahuddin sendiri apabila masing-masing bergelut mencari kerusi paling selamat untuk ditandingi dan mempunyai potensi menang. Mana tidaknya, kekalahan mereka adalah bererti PAN akan gulung tikar selepas pilihan raya itu nanti.

Maka, sekonyong-konyong dapat dilakukan adalah terus menerus mencalarkan imej PAS walaupun terpaksa berada di belakang DAP dan sedaya upaya melontarkan keraguan ke dalam PAS. Namun, ahli PAS begitu cepat berubah hasil janaan tarbiyah dan pegangan utuh pada Islam.

Jika pada masa peralihan kepimpinan 2015 dulu masih ada ragu-ragu setiap kali sampainya perkhabaran kepada ahli, kini tidak lagi. Ahli PAS saat ini sudah cukup bijak dan matang menerima maklumat yang sampai tanpa melatah, bahkan mengenali setiap propaganda cuba musuh mainkan.

Segala rekayasa, fitnah, adu domba, skandal, kontroversi, manipulasi dan sensasi tidak berjaya menular dalam rumah PAS. Sebaliknya ia kini membongkar sekian banyak ‘telur tembelang’ yang berada dalam sarang PH

Tiada ulasan: