HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 April 2017

Ingatan buat DAP: Beriak tanda tak dalam



ULASAN Kenyataan yang diutarakan oleh saudara Mahdzir Ibrahim pada hari ini berkenaan “MB Johor dan gimik-gimiknya” dengan jelas membuktikan bahawa DAP Johor semakin terdesak untuk meraih perhatian rakyat di negeri ini.

Artikel beliau yang dimuat naik dalam portal Malaysiakini hari ini, hanyalah satu lagi aksi publisiti murahan yang dirancang dan direka bagi mengalih perhatian orang ramai terhadap isu moral yang melanda kepimpinan DAP Malaysia, sejurus tularnya dakwaan berkaitan Dyana Sofya Mohd Daud dan Zairil Khir Johari.

Saya terpanggil untuk menjawab kenyataan yang telah dinyatakan oleh Mahdzir Ibrahim. Ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi melalui kenyataan tersebut.

Kenyataan beliau yang menyatakan bahawa lawatan menteri besar Johor ke parlimen-parlimen adalah sebagai satu persiapan menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU-14), adalah dangkal sama sekali.

Lawatan ke kawasan-kawasan ini telah pun dijalankan semenjak dua tahun lepas, bermula dengan daerah dan disusuli dengan lawatan-lawatan ke parlimen di negeri Johor.

Lawatan seumpama ini bukanlah gimik politik sepertimana yang dituduh oleh saudara Mahdzir, tetapi pendekatan yang realis dan bertindak sebagai “quick wins” dalam menyelesaikan permasalah setempat.

Sesungguhnya ia tampil lebih berimpak tinggi jika dibandingkan dengan khidmat wakil rakyat pembangkang yang hanya seperti ‘tin kosong’ sekadar bercakap tetapi tiada sebarang penyelesaian yang dilakukan.

Pada tahun lepas, kerajaan negeri telah pun menggariskan lima strategi utama bagi memodenkan sistem perkhidmatan dan penyampaian pihak berkuasa tempatan (PBT).

Tak ambil peduli, jahil

Ia bertujuan menjadikan perkhidmatan kerajaan negeri kepada masyarakat berjalan lebih cekap dan lancar.

Ini menunjukkan bahawa DAP Johor tidak pernah ambil peduli dan jahil terhadap perkembangan serta inisiatif yang telah dijalankan oleh kerajaan negeri terhadap rakyat Johor.

DAP Johor perlu tahu, bahawa setiap inisiatif dan perlaksanaan yang dilakukan ada tempoh matangnya, laluan Bas Muafakat Johor masih dalam tempoh uji kaji.

Dan sekiranya laluan tersebut mendapat sambutan yang kurang, ia akan ditukar ke laluan yang lain dan bergantung kepada permintaan. Untuk makluman saudara, ini perkara biasa.

Kenyataan Mahdzir bahawa Bas Muafakat Johor ini tidak memberi impak maksimum adalah satu kenyataan kosong yang tidak didasari dengan fakta.

Jika ia tidak memberi apa-apa kesan, manakan rakyat Johor sendiri yang mahukan perkhidmatannya diperluaskan ke seluruh negeri.

Saya juga percaya bahawa ia jauh lebih berkesan berbanding Bas Selangorku yang Azmin Ali sendiri akur terdapat masalah dalam melaksanakannya.

Beriak tanda tak dalam, bergoncang tanda tak penuh, berhentilah bercakap soal orang, kalau DAP sendiri pun tidak pernah betul.

* HAHASRIN HASHIM ketua Pemuda Umno Johor.

Tiada ulasan: