HALAMAN SANTAI

Ahad, 30 April 2017

Sosma bukan motif politik, saya kategori mana, soal Maria

 
Maria menempelak Nur Jazlan yang menafikan Sosma digunakan pada tahanan politik


maria-chin-jazlan

PETALING JAYA: Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menempelak Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menjustifikasikan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) tidak digunakan ke atas tahanan politik, dengan mengambil contoh diri beliau.

Maria turut mempersoalkan hujah timbalan menteri dalam negeri itu dengan bertanya atas sebab apa beliau ditahan di bawah Sosma November lalu.

“Dalam siasatan (sebelum ini), saya diberitahu keganasan, penjualan dadah dan sekarang digunakan untuk gengster.

“Saya ada di kategori yang mana? Sebab saya sebenarnya dari NGO dan apa yang saya perjuangan adalah pilihan raya yang adil dan bersih. Kenapa dengan itu?” kata beliau kepada FMT.

Nur Jazlan ketika menggulung perbahasan usul berkenaan Sosma memberikan penjelasan terhadap kekhuatiran sesetengah pihak yang mendakwa akta itu digunakan sewenang-wenangnya untuk menahan ahli atau pemimpin politik.

“Kita tengok kes Maria Chin. Dia bukan tahanan politik, apa parti politik dia? Jadi dakwaan Sosma digunakan pada tahanan politik adalah tidak benar,” kata beliau di Dewan Negara.

Mengulas lanjut, Maria berkata, Nur Jazlan turut memberikan pandangan sempit tentang maksud politik yang sebenar.

“Dan, sangat jelas Sosma, untuk apa digunakan. Saya tak ada dalam apa-apa kategori. Saya rasa saya punya penahanan (di bawah Sosma sebelum ini) menyalahi undang-undang.

“Juga sangat bertentangan dengan Perlembagaan (Persekutuan). Kerana mereka menekan kebebasan untuk bercakap,” tegasnya.

Maria, yang merupakan antara 14 suspek ditangkap pada 18 November lalu beberapa jam menjelang perhimpunan Bersih 5 di Kuala Lumpur, ditahan selama 10 hari di sebuah lokasi tidak diketahui.

Polis kemudiannya mengumumkan beliau ditahan di bawah Sosma yang biasanya digunakan untuk menangani kesalahan berkaitan keganasan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abdu Bakar memberitahu Maria ditahan di bawah Sosma berdasarkan penemuan 1 dokumen ketika serbuan ke atas pejabat Bersih di Petaling Jaya.

Beliau dibebaskan 28 November, pada hari menjelang permohonan habeas corpusnya didengar oleh mahkamah

Tiada ulasan: