Cadangan kerjasama tentera dan polis dalam penguatkuasaan operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) disambut negatif wakil rakyat pembangkang.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu Lee Chean Chung berkata langkah itu akan mengganggu tugas sebenar pegawai polis dan tentera yang perlu menumpukan kepada usaha menjaga keselamatan negara.
Beliau juga membangkitkan kenapa jumlah penguatkuasa KPDNKK tidak boleh ditambah sedangkan kerajaan baru-baru ini telah menambah satu lagi jawatan menteri, iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menteri tugas-tugas khas.
“Jika jawatan menteri boleh ditambah, mengapa tidak pegawai KPDNKK?” katanya.
Menteri KPDNKK Datuk Seri Hamzah Zainudin pada 18 April lalu berkata kerjasama kementeriannya, polis dan tentera perlu memandangkan masalah jumlah premis yang makin meningkat selain menangani masalah kepenggunaan dalam negara.
Katanya, dengan kekuatan 2,600 pegawai dan anggota KPDNKK di seluruh negara, agak sukar bagi mereka berada di semua lokasi serta menangani isu yang dibangkitkan tanpa bantuan pelbagai pihak.
Dalam kenyataan hari ini, Lee juga menyifatkan KPDNKK sengaja mencari alasan memandangkan masalah kepenggunaan dapat ditangani jika pemeriksaan berkala dan tindakan awal tanpa menunggu aduan dibuat.
“Pihak KPDNKK mungkin dilihat terbeban, namun itu bukan alasan untuk mereka tidak menjalankan tanggungjawab mereka.
“Saya harap mereka tidak lepas tangan kerana rakyat terbeban dengan kenaikan harga barangan yang semakin melambung tinggi,” katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan