HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 April 2017

RUU355 Hadi dijangka dibentang dan tangguh lagi


Usul rang undang-undang (RUU) persendirian yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka dibentangkan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat, Khamis ini dan bakal ditangguhkan lagi.

Anggota-anggota parlimen BN juga sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dalam taklimat yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Perkara itu disahkan oleh seorang anggota parlimen Umno kepada Malaysiakini yang enggan namanya disiarkan, berikutan diminta tidak bercakap kepada pihak media.

"Saya rasa ia pada hari terakhir. Pada Khamis. Dan ia hanya bentangkan rang undang-undang itu, saya rasa tak ada perbahasan," katanya

Ahad lepas, Ahmad Zahid berkata usul rang undang-undang persendirian oleh Abdul Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355, tidak akan diundi pada sidang kali ini.

Bagaimanapun pada masa itu beliau tidak mendedahkan bahawa usul itu akan dibentangkan.

Anggota Parlimen Umno itu berkata, anggota-anggota parlimen daripada parti komponen BN seperti MCA dan MIC juga turut hadir dalam taklimat berkenaan.

Ditanya sama ada MCA dan parti komponen lain membantah pembentangan usul itu, Anggota Parlimen Umno itu berkata Zahid tidak meminta pandangan tetapi hanya memberi taklimat kepada mereka.

"Tidak, sebenarnya timbalan perdana menteri tak tanya kepada mereka. Hanya taklimat," katanya.

Selepas usul Abdul Hadi yang dibentangkan pada sidang dewan rakyat yang lalu ditangguhkan, ia menikmati keutamaan untuk berada di bawah urusan-urusan bukan kerajaan, menurut peraturan Mesyuarat 15 (5).

Ini bermaksud pada persidangan Dewan Rakyat akan datang, rang undang-undang persendirian itu hanya akan dapat dibahas selepas semua urusan kerajaan selesai.

Bagaimanapun, keputusan muktamad masih terletak di tangan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Hari terakhir persidangan Dewan Rakyat jatuh pada Khamis ini.

Tiada ulasan: