HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 April 2017

Rafizi cadang Adam Rosly bercuti, lalui proses disiplin

MALAYSIA DATELINE

Adam Rosly didakwa kerana memberikan maklumat palsu.Adam Rosly didakwa kerana memberikan maklumat palsu.


Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mencadangkan agar Ketua Angkatan Muda PKR Ampang, Adam Rosly bercuti dari semua jawatan parti serta mengisytiharkan harta sementara menunggu nama beliau dibersihkan.

Beliau juga bersetuju agar proses tindakan disiplin dibuat ke atas Adam yang kini berhadapan tindakan undang-undang.

"Pendirian saya itu tidak berubah. Saya masih berpendapat Saudara Adam Rosly boleh menjernihkan keadaan supaya tidak mengheret KEADILAN ke dalam kemelut peribadi beliau dengan mengisytiharkan harta secepat mungkin," kata Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan dalam satu kenyataannya hari ini.

Oleh sebab itu, katanya, beliau dan rakan-rakan pimpinan yang lain akan mengusulkan supaya satu tindakan diambil yang boleh menjarakkan kemelut peribadi beliau dari mengheret PKR dan Pakatan Harapan.

Rafizi RamliRafizi Ramli"Sama ada melalui keputusan bersama kepimpinan Keadilan untuk membolehkan beliau (Saudara Adam Rosly) “bercuti” dari jawatan parti sehingga kes beliau selesai, atau melalui kaedah Lembaga Disiplin seperti yang disuarakan oleh Datuk Seri Azmin Ali, Timbalan Presiden," kata Rafizi dalam kenytaaannya.

Skrin TV, telefon dan dada akhbar hebat membincangkan kes yang melibatkan Adam Rosly yang didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan.

Media yang rapat dengan Umno/Barisan Nasional dan penyokong parti-parti yang tidak sehaluan dengan PKR/Pakatan Harapan hebat mengkritik PKR dan menggunakan pertuduhan terhadap Adam ini sebagai bukti bagaimana PKR pun terpalit dengan rasuah dan penyelewengan seperti mana sering didedahkan berlaku di dalam Umno/Barisan Nasional.

"Sebenarnya Keadilan amat tegas mengenai perkara-perkara yang bersabit dengan tata kelola dan keamanahan," kata Rafizi.

Sebab itu setahun yang lalu, katanya, beliau sendiri sebagai Setiausaha Agung Keadilan pada ketika itu dengan diiringi pimpinan-pimpinan lain membuat laporan mengenai dakwaan salah guna kuasa dan rasuah yang diadukan kepada saya yang didakwa berlaku di Selangor.

"Malah, saya secara berterusan di dalam saluran rasmi dan tidak rasmi parti mengingatkan pimpinan dan aktivis parti bahawa gerak geri kita diperhatikan oleh rakyat," katanya.

Apa pun, Rafizi berharap seluruh kekuatan parti dari akar umbi ke peringkat pimpinan mengambil langkah untuk menjarakkan parti dari kemelut peribadi seperti ini.

Ada yang bimbang jika sebarang langkah yang meminta beliau “bercuti” akan menetapkan satu teladan bahawa mana-mana pimpinan yang didakwa di mahkamah perlu juga “bercuti” dari jawatan.

Beliau menyeru rakyat supaya membezakan di antara kes-kes yang jelas ia satu perancangan jahat untuk menutup mulut lawan (seperti pendakwaan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim).

Ini kerana, kes-kes yang melibatkan pembelaan rakyat dan tidak bersifat kepentingan peribadi (contohnya
pendakwaan kes OSA yang melibatkan kebajikan veteran tentera); berbanding dengan kes-kes peribadi seperti ini bila mana seorang penjawat jawatan di dalam parti tidak dapat menerangkan kekayaan beliau sehingga didakwa berbohong, katanya.

"Saya yakin kepimpinan dan aktivis parti dapat membezakan dan menangani setiap kes mengikut kepentingannya kepada parti.

"Saya tetap percaya rakyat dapat membezakan kes-kes yang melibatkan setiap pimpinan dan penjawat jawatan di dalam Keadilan.

"Pun begitu, Keadilan mesti dilihat tegas dan berpegang kepada piawai moral dan keamanahan yang jauh lebih tinggi berbanding parti-parti lain," katanya.

Tiada ulasan: