HALAMAN SANTAI

Rabu, 26 April 2017

Jamal dakwa Azmin luluskan projek RM30 bilion di Paya Indah Wetlands

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SEPANG: Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini menuduh kerajaan negeri Selangor meluluskan pembinaan sebuah bandar baru di kawasan Paya Indah Wetlands.
 
Menurut Jamal, projek yang bakal dibangunkan Syarikat Gamuda Berhad itu menelan belanja RM30 bilion, namun beliau tidak menyertakan maklumat  lebih terperinci.
 
Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata beliau kesal dengan sikap Azmin, meluluskan projek tersebut sementelah ia adalah kawasan tadahan air hujan.
 
"Mengikut laporan alam sekitar jika kawasan ini dimajukan maka akan berlaku banjir besar yang teruk di Selangor dan kawasan ini, maka ditolak.
 
"Kawasan ini adalah kawasan tadahan hujan, maka kita tidak mahu kawasan-kawasan di sekitar ini, di Putrajaya, Dengkil, Sepang mengalami banjir, jadi kalau kawasan seluas 1200 hektar ini, maka rakyat Selangor akan terima musibah dan bala sekali lagi," katanya.
 
Jamal kemudiannya menuntut Azmin menjelaskan benarkah desas-desus bahawa PKR mendapat habuan RM3 bilion daripada keseluruhan RM30 bilion untuk tujuan persediaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang. 
 
“Adakah dengan kontrak bernilai RM30 bilion nilai projek di sini dan saya dimaklumkan sebanyak 10 peratus daripada itu untuk disumbangkan kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) iaitu sebanyak 3 bilion   untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Selangor .
 
“Saya yakin kelulusan kerajaan negeri di bawah Azmin Ali ada kaitan dengan PRU yang akan datang iaitu untuk mendapatkan 3 bilion  sumbangan daripada syarikat ini," katanya.
 
Isu membabitkan Paya Indah Wetlands mula menarik perhatian ramai selepas dibongkarkan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin.
 
Badrul Hisham atau Chegubard sebelum ini mendedahkan Azmin meluluskan permohonan menukar status tanah di lot 68054, daripada zon pertanian kepada zon pembangunan.
 
Sama seperti Jamal, Chegubard mempersoalkan mengapa Azmin memberi kelulusan kepada Gamuda Berhad, dalam tempoh yang singkat.
 
Untuk rekod, sebelum Azmin, permohonan pengezonan semula lot 68054 sudah ditolak oleh empat menteri besar sebelum ini, termasuk Tan Sri Khalid Ibrahim. 
 
Chegubard sudahpun membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung perkara itu, namun sehingga kini tiada perkembangan susulan.
 
 

Tiada ulasan: