HALAMAN SANTAI

Isnin, 24 April 2017

Mohd Amar ‘kesian’ tengok Mahfuz

MALAYSIAKINI



Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah kesian dengan kedudukan Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang seolah-olah tidak tahu hendak membuat keputusan.

Katanya, kedudukan naib presiden PAS itu dalam parti tidak mempunyai peluang yang cerah.

"Saya sebenarnya kesian tengok sebab beliau (Mahfuz) tak tahu ke mana dan mencari tempat untuk bergantung.

"Namun, bagi saya beliau sudah buat silap. Kalau duduk elok-elok kat PAS, peluang beliau lebih cerah," katanya yang dipetik ketika temubual bersama Sinar Harian.

Mahfuz, sebelum ini dilihat banyak membuat kenyataan dan tindakan yang tidak sehaluan dengan kepimpinan PAS hari ini.

Ini temasuk, membidas tindakan PAS yang tidak menghantar wakil ke majlis perasmian Parti Rakyat Bersatu Malaysia (BERSATU), pada Januari lalu.

Menurut Mahfuz, tindakan PAS seolah-olah memberi gambaran enggan menjalinkan kerjasama bersama gabungan pembangkang seperti diinginkan rakyat.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, beliau melihat bahawa sebab utama Mahfuz masih kekal dengan bai'ah dan sumpah PAS.

"Saya rasa dia ni takut dengan bai'ah dan sumpahnya sebab itu beliau tidak berani keluar dari parti dan menunggu untuk dipecat.

"Namun, kalau beliau sertai AMANAH (Parti Amanah Negara), secara automatik beliau akan terkeluar daripada PAS sebab dalam perlembagaan jelas mengatakan jika ahli menyertai parti lain, akan dikeluarkan serta-merta," katanya.

Akhbar itu bagaimanapun melaporkan Mohd Amar enggan mengulas lanjut sama ada tindakan akan dikenakan ke atas Mahfuz.

"Kami ahli jawatankuasa PAS pusat tidak masuk campur urusan ahli jawatankuasa disiplin ini, tugas kami hanyalah menyediakan bahan bukti sahaja" katanya.


Tiada ulasan: