HALAMAN SANTAI

Ahad, 23 April 2017

Terpalit kes rasuah: Guan Eng patut contohi Abdul Latif Bandi - Jeniri

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berdepan dengan kes rasuah wajar bercuti daripada tugas atau meletakkan jawatan sebagaimana yang dilakukan oleh exco kerajaan negeri Johor, Datuk Abd Latif Bandi beberapa hari lalu.
 
Menurut penganalisis politik Dr Jeneri Amir, Guan Eng perlu mengambil pendekatan sedemikian jika benar-benar menitikberatkan soal integriti.
 
"Itulah yang sebaik-baiknya seperti yang diambil oleh Abd Latif.
 
"Lim Guang Eng sepatutnya seperti yang beliau buat masalah ini berlaku terhadap pemimpin Barisan Nasional, Lim Guan Eng sentiasa mendesak atau menggesa pemimpin politik terbabit supaya bercuti.
 
"Tetapi apabila tiba pada batang hidung beliau sendiri, terkena pada diri sendiri kelihatannya dia menggunakan standard yang berlainan. Jadi Lim Guan Eng boleh kita sifatkan pemimpin yang mengamalkan dwi standard atau double standard. Jadi ini cakap tidak serupa bikinlah," katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Sebelum ini, terdapat juga suara dari dalam kalangan DAP yang menggesa beliau untuk bercuti daripada tugasnya sementara kes rasuah melibatkannya sedang disiasat.
 
Ia termasuk ADUN DAP dari Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu yang tidak berpuas hati dan turut mempersoalkan mengenai tindakan kerajaan Pulau Pinang terus mengekalkan Guan Eng sebagai Ketua Menteri, walaupun pemimpin itu terpalit dengan pertuduhan rasuah.
 
Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guan turut dilaporkan berkata terdapat beberapa ADUN DAP yang malu dengan kes rasuah Guan Eng yang dilihat telah merosakkan imej 'bersih' parti itu.
 
Dalam pada itu, Jeneri turut memuji tindakan yang diambil Abd Latif yang meletakkan jawatan rasminya ekoran sedang berdepan pendakwaan kes rasuah, bagi memudahkan perjalanan pentadbiran dan tidak mengheret keseluruhan kerajaan di Johor Bahru. 
 
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu sedang berdepan pendakwaan di mahkamah atas dua tuduhan berhubung penukaran zon pertanian kepada zon perumahan dan pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.
 
Perbicaraan kes rasuah Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon yang ditetapkan pada 27 Mac lalu ditangguhkan sehingga rayuan mereka untuk mencabar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai.
 
Mahkamah Tinggi Georgetown membenarkan permohonan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng untuk menangguhkan perbicaraan kes itu sementara menunggu keputusan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dan menetapkan 25 April ini untuk pengurusan kes
 
 

Tiada ulasan: