HALAMAN SANTAI

Rabu, 19 April 2017

Pemilih tidak keluar mengundi pada PRU-14?

Senduksiku Keluang
 
Masalah dalaman parti-parti politik utama negara ragut keyakinan rakyat untuk membuang undi dalam pilihan raya umum

Gendang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) semakin kuat dipalu oleh Perdana Menteri, Najib Razak dalam kebanyakan acara dihadiri beliau.

Program lawatan semakin banyak di negeri-negeri dalam Persekutuan, manakala rapat umum dalam kalangan pemimpin Barisan Nasional sudah pun dilakukan.

Semuanya demi mendapatkan maklumat mengenai parti lawan dan potensi Barisan Nasional untuk mengekalkan kuasa dan mungkin menambah lagi kerusi.

Tidak kurang juga mahu mengetahui peluang mengekalkan kerajaan negeri sedia ada dan mengenalpasti sama ada angan-angan merampas negeri tertentu dapat direalisasikan.

Ketika kita semua sibuk menelaah tindak-tanduk Perdana Menteri membidak buah catur, elok juga kita meneliti sentimen pengundi di bawah.

Rasanya, sentimen pengundi sudah tidak sama ketika Pilihan Raya Umum Ke-12 dan Pilihan Raya Umum Ke-13, yang mana menyaksikan dua tsunami besar melanda Barisan Nasional.

Jelas, pembangkang masih mengharap gelombang tsunami pengundi berterusan supaya dapat mengalahkan Barisan Nasional, lalu mengambil alih Putrajaya.

Masalahnya kini, adakah sentimen amarah rakyat yang menimbulkan tsunami politik itu mampu mengekalkan momentum pada PRU-14?

Jika kita lihat, parti-parti politik utama di Malaysia sedang berdepan krisis dan perpecahan, baik pada Barisan Nasional yang ditunjangi Umno, mahu pun DAP, PAS dan PKR.

Semuanya berhadapan masalah, menyebabkan sentimen rakyat tergugat, sekaligus menghakis keyakinan terhadap pemain-pemain politik arus perdana.

Jujur katakan, perkara sedemikian menimbulkan rasa mual terhadap politikus Malaysia dan melahirkan rasa tidak kuasa untuk kita mengundi.

Tidak ada gunanya kita mengundi kalau ia tidak membawa sebarang perubahan kerana politikus Malaysia asyik bertelagah dan mementing ego mereka.

Yang diharapkan ialah pemimpin politik yang boleh membawa rakyat Malaysia ke arah yang lebih baik dan bukannya pemimpin politik ego tidak bertempat.

Akibat keberadaan rasa mual dalam kalangan pengundi inilah yang akan membawa kita kepada fenomena pengundi tidak mahu keluar mengundi.

Perkara ini sudah menjadi kebiasaan di negara-negara maju yang sudah matang amalan demokrasinya seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Berdasarkan situasi ini, kemungkinan Malaysia sedang menjurus keadaan pengundinya enggan lagi mengundi tidak harus ditolak.

Perkara ini harus diatasi pada kadar segera oleh parti-parti politik yang bertanding, supaya rasa teruja 
untuk membuang undi itu terus wujud dalam jiwa pemilih.

Isu yang dimainkan harus relevan dan membangkit rasa ingin memangkah kotak undi dan membawa perubahan atau paling tidak mengekalkan kuasa parti pemerintah.

Ketepikan perbalahan dan bentuklah gandingan politik yang mantap. Bersatu tumpukan lawan politik yang satu supaya ia menimbulkan keterujaan pengundi untuk mengundi.

Tiada ulasan: