MCA akan menubuhkan satu jawatankuasa baharu bagi merangka dasar ekonomi yang lebih baik berbanding apa yang diajukan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong berkata selain mengemukakan penyelesaian masalah ekonomi negara, MCA yang dianggotai oleh golongan pertengahan dan perniagaan juga mampu memberikan idea untuk membantu menambah pendapatan rakyat.
“Untuk mentadbir negara, penting untuk membolehkan rakyat menambah pendapatan…Maka (mengukuhkan) perniagaan adalah salah satu caranya,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan Pemuda MCA, lapor media pada Sabtu.
Menurut beliau MCA perlu bertindak proaktif memandangkan kaum Melayu dan India mengiktiraf kebolehan kaum Cina dalam bidang ekonomi.
“Orang Melayu dan India mengakui kebolehan orang Cina untuk berniaga. Sebagai pertubuhan berasaskan masyarakat Cina, kita ada banyak bakat.
“MCA ada kebolehan untuk menghasilkan idea yang lebih baik berbanding Lim. Orang ramai boleh menambah pendapatan dan (MCA) sekali lagi akan mendapat sokongan (rakyat),” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan