HALAMAN SANTAI

Jumaat, 7 Disember 2018

ZAWAWI: KERJASAMA LEBIH KUKUH UMNO-PAS SEBELUM PRU15

Wartawan Watan-Online
 


PAS dan UMNO dijangka akan membentuk kerjasama lebih kukuh sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Bayangan itu diberikan Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang menyifatkan dua parti dominan orang Melayu itu memilki banyak kebersamaan.

Malah, kebersamaan parti itu dan UMNO katanya dilihat sebagai satu keperluan pada masa sekarang.

“Keputusan lebih khusus dalam perkara ini akan dibuat pada masa depan dan dijangka sebelum PRU-15. Apapun kita tengok reaksi dulu.

“Kalau situasi ini baik, persefahaman terjalin, dia pasti akan jadi lebih baik. Tetapi kita kena tengok perjalanan, reaksi penyokong kedua-dua parti kerana semua perkara perlu dinilai.

“Kerjasama sebelum ini seperti Rang Undang-Undang (RUU) 355 dan perbincangan lain sudah berlaku antara PAS dan UMNO bagi memastikan Islam yang dibawa ditegakkan,” katanya di Kota Bharu, Khamis, malam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Grand Finale Himpunan Aman Rakyat Membantah ICERD.

Sementara itu, Muhammad Zawawi turut mengakui kerjasama dengan UMNO turut menguntungkan PAS dalam membantu parti itu menegakkan Islam.

“Setakat hari ini, ia sangat memberi keuntungan kepada Islam, masyarakat Melayu…..Banyak aspeklah.

“Bagaimanapun, gabungan PAS dengan UMNO ini kita belum lagi bincang secara khusus namun begitu Majlis Syura Ulama sudah buat ketetapan.

“Majlis Syura Ulama tidak memberi apa-apa halangan kepada PAS dan kepimpinan untuk mengadakan hubungan dengan mana-mana parti yang ada dalam negara kita,” katanya.

Tiada ulasan: